Laporan/foto: Mardialis Akma Abd Aziz/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
BESUT, 5 April (Malaysiaaktif) – Usaha agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu mengadakan kempen bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan vaksin COVID-19 mendapat sambutan luar jangkaan.
Pengarah JaPen Negeri Terengganu, Ahmad Ammar Othman, berkata sekitar 200 penduduk Pulau Perhentian mendaftar bagi Program Imunisasi Kebangsaan pada program Teganu Prihatin 2021 yang diadakan di situ selama dua hari berakhir kelmarin.
Katanya, kaunter pendaftaran vaksin COVID-19 yang disediakan oleh JaPen Negeri Terengganu pada program tersebut telah membuahkan hasil apabila penduduk di Pulau Perhentian mengambil peluang dan bersemangat untuk menerima suntikan vaksin itu.
Ahmad Amar menambah, orang ramai diharap agar tidak dipengaruhi oleh maklumat negatif mengenai vaksin COVID-19 dan JaPen Negeri Terengganu bersedia memberikan maklumat yang tepat agar usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19 dalam masa terdekat dapat dicapai.
Program anjuran JaPen Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pejabat Daerah Besut serta pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri itu memberikan banyak manfaat khususnya kepada penduduk pulau itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata jumlah yang mendaftar pada program itu menunjukkan perkembangan yang baik dikalangan rakyat terhadap program imunisasi yang diusahakan oleh kerajaan.
Katanya, pendekatan yang diambil oleh JaPen Negeri Terengganu bersama agensi lain memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai dasar negara dan negeri, selain mempromosikan pulau ini.
“Ini usaha terbaik kerana kita turun padang bersama agensi dan jabatan lain untuk membantu komuniti terutama mereka di kawasan pedalaman yang mempunyai batasan pergerakan,” katanya ketika merasmikan program Teganu Prihatin : Merintis Komuniti Berinformasi 2021 di sini, baru-baru ini.
Mohd Nor menambah, Program Teganu Prihatin kali ini memcerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat disegenap lapisan dan pelusuk untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai pandemik COVID-19 serta kempen kesedaran vaksinasi dan pengamalan norma baharu di situ.
Jelasnya lagi, penganjuran program itu adalah lanjutan daripada Malaysia Prihatin itu memperlihatkan reaksi positif daripada rakyat dan program ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan rakyat dan agensi selain memudahkan mereka menyelesaikan urusan berkaitan jabatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pulau Perhentian, Zakuan Mat Nasir, berkata beliau amat teruja dengan program yang dianjurkan pihak kerajaan di pulau itu.
Katanya lagi, beliau akan memastikan agar seluruh penduduk Pulau Perhentian bersetuju dengan saranan kerajaan untuk menerima suntikan imunisasi COVID-19 dan menggesa penduduk agar mendaftar dengan segera.
Beliau berharap program yang berlangung selama dua hari itu dapat memberi manfaat kepada komuniti untuk mengubah persepsi dan minda mereka tentang keberkesanan imunisasi vaksin COVID-19 dalam usaha memerangi penularan COVID-19.
-ii-