Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Gotong-Royong Bersih Sungai Tingkat Kesedaran Generasi Muda

By 5 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 5 April (Malaysiaktif) –Usaha meningkatkan kesedaran berhubung tanggungjawab terhadap kebersihan sungai dalam kalangan penduduk, seramai 224 peserta mengambil bahagian dalam ekspedisi mengutip sampah sarap di sepanjang Sungai Nerus sekaligus memastikan kawasan sungai agar terus terpelihara.

Salah seorang peserta Firdaus Zulkifli, 19, berkata program yang dijalankan pada hari ini adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti di sini terutamanya kepada generasi muda.

“Generasi muda tidak seharusnya ketinggalan dalam aktiviti sebegini kerana usaha memastikan persekitaran sungai sentiasa bersih dan indah adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Peserta Ekspedisi Berkumpul di Jeti Tanjung Sabtu, Kuala Nerus bagi usaha membersihkan sungai di sepanjang Sungai Nerus.

Peserta Ekspedisi Berkumpul di Jeti Tanjung Sabtu, Kuala Nerus bagi usaha membersihkan sungai di sepanjang Sungai Nerus.

Menurutnya lagi, aktiviti pemeliharaan sungai perlu diteruskan dan bukannya dijalankan secara bermusim atau ketika keadaannya telah tercemar kerana sungai adalah sumber air terpenting kepada manusia.

Seorang lagi peserta, Asraf Mohd Yusof, 22, berkata beliau melibatkan diri dalam program ini kerana mempunyai rasa tanggungjawab bagi memastikan sungai bebas dari sampah sarap.

“Generasi muda perlu dipupuk dengan nilai tanggungjawab bahawa setiap individu perlu memainkan peranan menjaga alam sekitar dan kebersihan sungai dan bukan tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata,” tambah Asraf.

Aktiviti gotong-royong mengutip sampah sarap di sepanjang Sungai Nerus, menggunakan bot.

Aktiviti gotong-royong mengutip sampah sarap di sepanjang Sungai Nerus, menggunakan bot.

Beliau turut yakin program yang dijalankan ini juga dapat mengeratkan hubungan kejiranan dan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung dari semua peringkat umur.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang melepaskan peserta Ekspedisi Sungai Nerus di Jeti Kampung Tanjung Sabtu turut mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong yang melibatkan sejumlah 89 buah bot dari 20 buah kampung berdekatan.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim.

-ii-

Tinggalkan komen anda