Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)
SEMPORNA, 4 April (Malaysiaaktif) – Pembukaan sektor pelancongan domestik memberi sedikit kelegaan kepada pengusaha bot pelancongan di daerah ini.
Menurut Pengurus Besar Jeti Pelancong Semporna Kwan Yaw Fu, sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, pada waktu puncak terutama pada musim cuti persekolahan dalam sehari seramai 3,000 orang pelancong datang dan menggunakan perkhidmatan bot untuk dibawa ke pulau sekitar daerah sini.
“Semenjak kerajaan membenarkan pembukaan sektor pelancongan domestik, tempahan pada waktu puncak adalah sekitar 800 orang sehari manakala pada hari biasa kedatangan pelancong tempatan adalah sekitar 10 hingga 40 orang sehari berbanding sebelum ini iaitu seramai 800 orang.
“Kebanyakan pelancong yang datang hanyalah dari Zon 5 iaitu pelancong tempatan dari daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan.
“Walaupun angka ini masih terlalu rendah tapi ia memberi satu sinar harapan bagi kelangsungan produk pelancongan domestik selain menjadi tanda positif yang memperlihatkan industri pelancongan mula aktif walaupun kurang memberangsangkan dari segi tempahan,” katanya ketika ditemui di Jeti Pelancong Semporna, di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, faktor utama kepada pengurangan kemasukan pelancong ke daerah ini adalah disebabkan oleh penguatkuasaan sekatan pergerakan rentas negeri selain rentas daerah mengikut zon bagi negeri Sabah.
“Namun, bagi memulihkan sektor pelancongan terutama nasib pengusaha bot pelancongan dan penginapan ia memerlukan sokongan masyarakat tempatan untuk bertandang ke daerah ini kerana sektor pelancongan merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat sekitarnya.
“Operator pelancongan pula perlu bergerak seiring dengan prakarsa kerajaan bagi menarik kemasukan pelancong tempatan dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan selari dengan kemampuan dan cita rasa pelancong yang datang untuk melawat ke taman-taman Sabah.
“Setakat ini lebih kurang 250 agensi pelancongan yang terkesan masih aktif beroperasi sekitar daerah ini dan berharap penduduk sekitar Zon 5 terutama pelancong domestik dapat membantu dalam memangkin pemulihan industri tersebut,” ujarnya.
-RI