Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

RTM Sampaikan Maklumat Tepat, Tingkatkan Pengetahuan Rakyat

By 4 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 4 April (Malaysiaaktif) – PerlisFM telah melalui fasa yang matang sejak penubuhannya pada tahun 1992 dalam menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan pada komuniti setempat.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, ketika ini letusan maklumat telah banyak berlaku dan ia bukan lagi terhad dan menjadi hak milik kepada individu tertentu sahaja.

“Kepesatan dan kecanggihan teknologi pada masa kini membolehkan masyarakat mendapat akses real time maklumat terkini yang berlegar dalam kalangan masyarakat tersebut.

“Ini merupakan satu cabaran yang besar berbanding 30 tahun dahulu kerana maklumat atau isu-isu yang disampaikan dalam media sosial tidak dapat ditentukan kesahihannya dan kita perlu menapis adakah maklumat diterima itu betul atau sebaliknya,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM dan 60 Tahun Okestra RTM serta Pelancaran Logo Baharu RTM Perlis di Kompleks Penyiaran RTM Perlis Kangar, di sini baru-baru ini.

Menteri Besar melakukan lawatan ke konti Perlis FM.

Menteri Besar melakukan lawatan ke konti PerlisFM.

Tambahnya, beliau yakin Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempunyai kemahiran dalam menentukan kesahihan maklumat atau isu-isu yang akan disampaikan kepada rakyat di negara ini.

“Saya berharap RTM dan PerlisFM khususnya akan terus memainkan peranan sebagai agen dalam menyatupadukan rakyat dan pada masa yang sama menyampaikan maklumat yang positif demi pembangunan negara yang tercinta.

“Kita tidak nafikan bahawa medium komunikasi pada hari ini telah banyak berubah dan lebih pantas berbanding zaman dahulu yang mana RTM sentiasa berkembang maju mengikut peredaran zaman terutama dari segi peralatan dan kaedah penyiarannya,” ujarnya.

Azlan berkata, produk-produk yang RTM terbitkan juga selari dengan arus semasa di dalam konteks teknologi digital pada masa kini dan pada masa yang sama ia meningkatkan lagi kepantasan penyampaian maklumat kepada rakyat.

Turut hadir, Timbalan Pengarah RTM Perlis Paramaswarie Muthiah@Mutusamy, Pengurus Operasi Pos Negeri Kedah Perlis Mohd Azmi Azizan, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Azrul Hasan, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perlis Mohd Fitri Hashim.

-NI-

Tinggalkan komen anda