Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kraftangan Malaysia Sasar RM1.8 Juta Jualan Menerusi WWA 2021

By 16 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 

PUTRAJAYA, 16 April (Malaysiaaktif) – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menyasarkan RM1.8 juta hasil jualan menerusi program Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri (WWA) 2021 yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bermula semalam hingga 2 Mei ini.

Ketua Pengarahnya Ibrahim Ismail berkata beliau yakin festival yang disertai oleh 120 usahawan dan dijayakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) mampu mencapai sasaran tersebut meskipun masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Inilah peluang kita yang pertama mengadakan promosi secara fizikal selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan susulan COVID-19.

“Perbadanan merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk memberi kesempatan kepada usahawan-usahawan kraftangan untuk berniaga secara fizikal.

“Kraftangan yang dijual ini bukan hanya untuk digunakan sebagai cenderahati tetapi kita juga mahu mendidik masyarakat supaya menggunakan produk kraf dalam musim perayaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Antara barangan yang boleh didapati di festival tersebut adalah produk kraf seperti pakaian batik, hiasan rumah daripada rotan, kayu serta labu sayong selain program pengisian seperti pertandingan kad raya kreatif serta mengikat samping dan tanjak.

Beliau berkata festival bertemakan ‘Kraf Di Hati, Hari Raya Aidilfitri Di Nanti’, itu bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan kraf tetapi turut melibatkan usahawan yang menyediakan perkhidmatan dan produk Aidilfitri.

Katanya, promosi tersebut turut diadakan serentak di tujuh lokasi pusat beli-belah terpilih di seluruh negara iaitu East Coast Mall, Pahang; Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall, Terengganu; Aeon Mall Kuching, Sarawak; Aeon Mall Kinta City, Perak; Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan; Mydin Mall Bertam, Pulau Pinang dan Freeport A’Famosa Outlet, Melaka.

Tambahnya, SOP seperti mengimbas aplikasi MySejahtera, pemeriksaan suhu, menggunakan cecair pembasmi kuman selain mengehadkan kemasukan kepada 120 orang pelanggan dalam satu masa bagi menjamin penjarakan fizikal turut dilaksanakan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda