Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 19 April (Malaysiaaktif) – Polis menahan lapan lelaki berusia 23 hingga 29 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah restoran di Rawang awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian sekitar 1 pagi apabila berlaku selisih faham antara mangsa dengan sekumpulan lelaki akibat ejek-mengejek antara mereka.
“Keadaan menjadi kecoh apabila kumpulan lelaki tersebut telah bertindak membaling botol kaca yang berada di atas meja ke arah mangsa dan rakan-rakannya.
“Mangsa dan rakan-rakan turut membaling botol kaca ke arah suspek dan kemudian berlaku pergelutan antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Arifai berkata, mangsa yang berusia 29 tahun mengalami cedera ringan di bahagian tangan sebelah kiri dan dada akibat kejadian tersebut.
“Pihak polis telah menangkap lapan individu bagi membantu siasatan kes tersebut sementara beberapa suspek lagi sedang diburu.
“Tangkapan dibuat hari ini (Ahad) antara pukul 1.30 petang hingga 8.30 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak manakala empat lagi menyerah diri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian tersebut diminta menghubungi pihaknya,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dua video berdurasi 17 saat dan 47 saat yang memaparkan berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki di luar sebuah restoran di Rawang.
-RI