Laporan/foto: Hamidah Len (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 3 April (Malaysiaaktif) – Bagi penggemar aktiviti lasak dan pencinta keindahan alam semulajadi, Kokol Hobbiton Forest kini menjadi satu destinasi wajib kunjung.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini seperti memancing, berkhemah, mandi-manda, berkelah dan merentas hutan termasuk kawasan air terjun, menjadikannya taman rekreasi mesra keluarga.
Taman rekreasi persendirian tersebut dirintis oleh pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam Universiti Malaysia Sabah Professor Madya Dr. Justin Sentian, yang juga pernah menjalankan penyelidikan berkaitan suhu dan perubahan cuaca di Antartika.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac tahun lalu, saya menghabiskan masa seharian di kawasan hutan persekitaran rumah dan membuat sendiri laluan masuk ke Kokol Hobbiton Forest menggunakan jentera berat.
“Tuntutan tugas sebagai ahli akademik sering menuntut saya mengembara ke banyak tempat untuk menghadiri pelbagai persidangan dan kajian ilmiah sekali gus banyak memberi inspirasi kepada pembukaan pusat rekreasi ini.
“Bagi Kokol Forest Cottage pula, dekorasi dan idea binaan setiap sudut rumah dibuat sendiri dengan mengambil inspirasi cita rasa Inggeris serta idea daripada rakan-rakan arkitek,” kata Dr. Justin yang pernah menetap selama tiga tahun di Lancaster, England ketika ditemui di taman rekreasi tersebut, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pengamal undang-undang, Junariah Datu Derin, 43, menjelaskan taman rekreasi ini menyajikan pemandangan istimewa di sepanjang laluan pendakian di mana pengunjung akan berterusan menyusuri hulu sungai dan kawasan air terjun.
“Keadaan laluan pendakian yang seakan masih belum dilalui pengunjung sangat mencabar kecergasan dan fizikal kumpulan kami.
“Persekitaran hutan dan air terjun sepanjang perjalanan menambah suasana dingin walaupun pada waktu tengah hari dan ia menjadikan lokasi ini sangat berbaloi untuk dikunjungi.
“Apatah lagi, tidak terdapat sedikit pun sampah domestik kelihatan dan ini sangat semula jadi,” ujar Junariah yang merupakan ahli Nemophotolist kumpulan pendaki bukit sekitar Bandaraya Kota Kinabalu yang juga merupakan kumpulan pertama meneroka laluan berbukit taman rekreasi ini.
Menurut isteri Dr. Justin, Marcela G. Ambrose, pihaknya turut menyediakan dua orang penunjuk arah berpengalaman yang juga merupakan bekas pelajarnya sendiri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu.
“Pada masa ini kami sedang membina rumah hijau sebagai tempat untuk nurseri bunga-bungaan yang diperolehi daripada pelbagai sumber untuk disemai dan dipasarkan kepada umum.
“Kami berharap taman rekreasi ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk sekitar untuk menjana pendapatan,” katanya yang telah berkhidmat lebih sepuluh tahun sebagai pendidik.
-RI