Laporan/foto: Tengku Syarinah Tengku Mustapa/Muhammad Rosazahan Md Azuan (Hulu Selangor)
HULU BERNAM, 3 April (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor berkolaborasi membantu masyarakat di Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi mendaftar diri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kampung Soeharto Aizuddin Zailani, berkata program ini diadakan bagi membantu masyarakat tempatan yang tinggal di luar bandar yang tidak mempunyai telefon pintar dan akses internet bagi membuat pendaftaran secara atas talian.
“Kami berharap dapat membantu semua lapisan masyarakat yang tinggal di sini untuk mendapatkan vaksin COVID-19 demi menjaga dan membendung penularan wabak ini di negara kita.
“PKD dan Pejabat Penerangan Hulu Selangor telah berbincang untuk bekerjasama supaya masyarakat yang berada di luar bandar juga menjayakan program vaksinasi ini.
“Program hari ini (Jumaat) diadakan di perkarangan masjid bagi memudahkan orang ramai yang hadir solat jumaat membuat pendaftaran setelah selesai solat, bermula jam satu tengah hari hingga empat petang,” katanya yang ditemui di perkarangan Masjid At-Taufiqiah Felda Soeharto, di sini semalam.
Menurutnya, program tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa agar semua masyarakat yang tinggal di luar bandar dapat menerima segala kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan demi kesejahteraan dan kesihatan bersama.
Seorang penduduk, Normadiah Saleh, 55, menzahirkan rasa terima kasih di atas keprihatinan PKD dan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor kerana membantu golongan warga emas untuk mendaftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Hebahan yang dibuat oleh Pejabat Penerangan daerah di sekitar kawasan felda telah membantu penduduk tempatan untuk hadir mendaftar.
“Rata-rata penduduk yang tinggal di felda ini adalah golongan warga emas yang tidak mahir menggunakan telefon mahupun komputer untuk membuat pendaftaran.
“Kami sangat berterima kasih kepada agensi kerajaan yang sentiasa mengambil berat penduduk di sini walaupun berada jauh di pedalaman,” katanya.
-RI