Laporan/foto: Krisha Selladurai/Surina Simat (Pontian)
PONTIAN, 1 April (Malaysiaaktif) – Peranan wanita bukan hanya di rumah, malah mereka juga merupakan penyumbang kepada pembangunan dan kemajuan serta bersama-sama berganding bahu di sisi kaum lelaki.
Menurut Pegawai Daerah Pontian Mohd Rafi Abdullah, seiring dengan moto PUSPANITA “Wanita Sepakat Negara Meningkat” beliau berharap agar semua wanita dapat mengambil peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin kerana wanita bukan lagi sebahagian dari pembangunan negara tetapi wanitalah yang menggerakkan pembangunan negara.
“Dengan peranan berganda sebagai wanita berkerjaya dan juga sebagai suri rumah, tidak mustahil bahawa wanita di daerah ini akan menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran yang mana mereka juga akan mengambil inisiatif untuk menyahut cabaran dan saranan Menteri Besar Johor yang mahu golongan wanita berada dalam kelasnya tersendiri.
“Saya berharap ahli-ahli dapat menjadikan PUSPANITA sebagai medium untuk bertukar-tukar fikiran dan idea bagi melaksanakan aktiviti dalam suasana kebersamaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Daerah Pontian kali ke-27 di Dewan Serbaguna Daerah Pontian, di sini semalam.
Rafi berkata kaum wanita perlu mempunyai keyakinan dalam apa jua yang diusahakan dan jangan gentar atau menoleh ke belakang.
“Wanita perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab serta mendokong hasrat kerajaan sebagai peneraju keluarga, masyarakat dan negara serta memasang azam yang kuat untuk mencapai apa yang dihajati demi menjadi bintang yang bersinar untuk masa depan yang gemilang,” ujarnya.
Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Pontian Shamsiah Mohd Noh, berkata misi PUSPANITA adalah untuk menjadikan suri dan anggota wanita perkhidmatan awam sebagai seorang yang berdaya saing, berkualiti, berilmu, berkemahiran, berketerampilan dan bertaqwa.
“Justeru itu, dengan aktiviti dan program yang dirancangkan dapat menyumbang bukan sahaja pembangunan diri warga PUSPANITA, malahan kepada anggota keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Walaupun pada tahun 2020 pandemik COVID-19 melanda negara, PUSPANITA berjaya menjalankan beberapa program besar daerah iaitu Mesyuarat Agung PUSPANITA Cawangan Daerah Pontian kali ke-26, Program Kecergasan dan Lawatan Pameran Artifak Rasullah S.A.W.
“PUSPANITA Cawangan Daerah Pontian juga mengambil bahagian dalam program penyampaian kurniaan Permaisuri Johor dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor kepada mangsa banjir dan golongan ibu tunggal,” katanya.
-NI-