Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Klinik Berhenti Merokok Inisiatif Kerajaan Bantu Perokok Tegar

By 1 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 1 April (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan Klinik Berhenti Merokok di hospital dan klinik kesihatan awam secara percuma bagi membantu perokok tegar yang mahu berhenti merokok.

Pegawai Pendidikan Kesihatan Hospital Sultan Ismail Johor Bahru Hanan Ismail, berkata KKM mengambil serius berkaitan tabiat merokok dalam kalangan orang dewasa ketika ini terdiri daripada 40 peratus perokok yang berumur 18 tahun dan ke atas.

“Tabiat yang kurang sihat ini jika tidak dikawal boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit seperti kanser paru-paru, tekanan darah tinggi, strok, penyakit jantung dan mati pucuk,” katanya pada program Bicara Pagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Pasir Gudang, di sini semalam.

Tambah Hanan, walaupun seseorang itu tidak merokok, mereka tetap akan terdedah dengan asap rokok sekali gus meningkatkan risiko kepada pelbagai penyakit.

“Klinik Berhenti Merokok merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu perokok tegar untuk berhenti merokok dengan hanya mengenakan bayaran serendah RM1.

“Bagi yang ingin berhenti merokok, mereka boleh mendapatkan rawatan daripada pakar bagi membimbing dan membantu mereka sehingga bersedia untuk berhenti merokok,” ujarnya.

Menurutnya, selepas pesakit berjaya berhenti merokok, KKM akan terus memantau selama enam bulan bagi memastikan keberkesanan rawatan yang telah diterima.

“Kalau hendak berhenti merokok boleh pergi ke klinik kesihatan dan kalau tidak boleh dan susah untuk berhenti merokok jangan merokok di hadapan orang lain,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut mengambil inisiatif dengan membuat lawatan ke sekolah-sekolah bagi memberi kesedaran kepada para pelajar agar mereke tidak terjebak dengan gejala merokok.

“Selain itu, KKM juga telah mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

“Jika berhasrat untuk berhenti merokok, anda boleh mendapatkan bantuan dan nasihat melalui talian 03-88834400 atau kunjungi Klinik Berhenti Merokok di hospital dan klinik terpilih yang berdekatan,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda