Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sabah Catat Jumlah Pendaftaran Penerima Vaksin Paling Rendah

By 1 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norliza Yusof/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

RANAU, 1 April (Malaysiaaktif) – Sabah mencatatkan jumlah pendaftaran penerima vaksin paling rendah dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin, menasihatkan masyarakat di negeri ini agar segera mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin menerusi PICK.

“Rakyat tidak perlu risau kerana suntikan vaksin ini adalah selamat dan setakat ini tidak ada sebarang komplikasi berat dan tiada sebarang aduan mengenai suntikan tersebut.

“Justeru itu, mereka yang belum mendaftar untuk segera berbuat demikian bagi menjamin kesejahteraan diri sendiri dan orang di sekeliling kita,” katanya selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Dewan Kem Wawasan Negara Kundasang, di sini baru-baru ini.

SOAL JAWAB... Jonathan ketika sesi soal jawab bersama para jemputan.

SOAL JAWAB… Jonathan ketika sesi soal jawab bersama para jemputan.

Menurut beliau, PICK merupakan antara tiga perkara yang perlu dijelaskan kepada rakyat melalui program Malaysia Prihatin selain daripada proklamasi darurat dan proses pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.

“Program inisiatif kerajaan yang akan diadakan secara berterusan ini adalah bertujuan bagi menyampaikan maklumat dan penjelasan yang lebih terperinci kepada rakyat secara bersemuka.

“Diharap dengan adanya program seumpama ini berupaya memberi kefahaman dan maklumat yang terkini kepada rakyat dan sekaligus dapat memberikan impak yang positif kepada negara,” tambahnya.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kementerian Dalam Negeri Datuk Musa Sulaiman, Penolong Pegawai Daerah Alexander Liew dan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Sammy Newton.

Jonathan mendengar penerangan daripada Pegawai Penerangan Daerah Ranau, Kenny Thomas (kiri) ketika melawat ke gerai pameran Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Jonathan mendengar penerangan daripada Pegawai Penerangan Daerah Ranau, Kenny Thomas (kiri) ketika melawat ke gerai pameran Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

-RI

Tinggalkan komen anda