Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)
SEMPORNA , 1 April (Malaysiaaktif) – Projek Pembinaan Pasar Awam Sejahtera Semporna dijangka siap sepenuhnya penghujung April 2021.
Menurut Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Semporna Ali Adam Haji Hamjah, projek pembinaan yang bernilai RM7 juta dan dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia ke-11 kini berada dalam fasa akhir pembinaan.
Katanya, bangunan tersebut akan memberi kemudahan kepada masyarakat sekitar dengan menempatkan tiga buah pasar iaitu pasar sayur dan buah, pasar ikan serta pasar ayam dan daging.
“Terdapat 143 meja jualan secara keseluruhan di mana 67 meja diperuntukkan untuk peniaga sayur dan buah, 69 meja bagi peniaga ikan dan selebihnya tujuh meja bagi penjual ayam dan daging.
“Pembinaan pasar baharu itu merupakan penambahbaikan kualiti kemudahan dan infrastruktur awam yang bakal dinikmati oleh rakyat di daerah ini kelak,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Majlis Daerah Semporna, dekat sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan sangat menitikberatkan keselesaan dan kemudahan rakyat Semporna, malah pihak berkuasa tempatan sentiasa merangka strategi bagi membantu peniaga kecil menjalankan aktiviti perniagaan di ruang niaga yang lebih moden dan kondusif.
“Projek pembinaan yang mengambil masa selama 120 minggu untuk disiapkan tersebut adalah penting bagi menggantikan bangunan pasar lama yang agak uzur dan telah berusia lebih 30 tahun,” jelasnya lagi.
-RI