
PUTRAJAYA, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Malaysia melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sentiasa komited dalam mematuhi obligasi antarabangsa termasuk perkara yang berkaitan dengan kawalan pelepasan radionuklid ke alam sekitar daripada sesuatu pepasangan nuklear.
AELB dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam keadaan operasi normal, sesebuah pepasangan nuklear akan melepaskan sebahagian radionuklid termasuklah tritium ke alam sekitar iaitu sungai, laut dan udara dengan mengikuti standard antarabangsa serta syarat-syarat yang ditentukan oleh pihak berkuasa sesebuah negara.
“Selaras dengan praktis antarabangsa, Malaysia telah menetapkan satu nilai kekangan dos supaya dos berkesan yang akan diterima orang awam kesan daripada pelepasan radionuklid ke alam sekitar tidak melebihi 1 mili Sievert setahun (mSv/tahun),” katanya dalam kenyataan itu.
Baru-baru ini, kerajaan Jepun dilaporkan meluluskan rancangan melepaskan lebih satu juta tan air terawat daripada loji nuklear Fukushima ke dalam laut.
Menurut AELB, cadangan Jepun itu mendapat pandangan positif daripada pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menerusi laporan bertajuk “IAEA Follow-up Review of Progress Made on Management of ALPS Treated Water and the Report of the Subcommittee on Handling of ALPS treated water at TEPCO’s Fukushima Daiichi Nuclear Power Station”, bertarikh 2 April 2020.
Menurut AELB lagi, IAEA dalam laporannya menyatakan bahawa cadangan Advanced Liquid Processing System (ALPS) Subcommittee adalah berasaskan satu analisa menyeluruh yang mencukupi berdasarkan kepada asas teknikal dan saintifik yang menyakinkan dan IAEA juga mendapati cadangan itu selari dengan amalan terpuji antarabangsa ketika ini.
Sehubungan itu, AELB selaku badan kawal selia tenaga atom negara yang sentiasa mengikuti standard yang disarankan oleh IAEA, mempunyai pandangan yang sama dengan dapatan agensi antarabangsa tersebut.
“Malaysia, melalui AELB akan memantau perkembangan perkara ini dari semasa ke semasa melalui kaedah permonitoran radiologi dan alam sekitar secara berterusan,” katanya.
— BERNAMA