Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Agong Bertindak Ikut Nasihat Jemaah Menteri

By 26 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun semalam berkata kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Idrus berkata Perkara 40(1) dan (1A) memperuntukkan antara lain, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

“Berkait dengan kuasa Jemaah Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu Penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Semasa Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Idrus berkata kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri tidak berubah, walaupun Proklamasi Darurat telah diisytiharkan.

Idrus berkata peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa, manakala perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh “sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, dan Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda