
Foto: Bursa Malaysia
PUTRAJAYA, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Bursa Malaysia Bhd akan melancarkan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah bulan depan.
Pengerusi, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata indeks baharu itu akan merangkumi konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia yang patuh syariah berdasarkan metodologi saringan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Kami memperluas kerjasama dengan institusi kewangan untuk menawarkan produk pembiayaan lestari kepada syarikat senaraian awam (PLC) yang menunjukkan minat dan komitmen dalam mengukuhkan lagi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Utama Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) 2021 secara maya di sini.
Pihaknya terus berusaha untuk menggalakkan kelestarian dalam kalangan penerbit tersenarai, katanya.
Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia telah berperanan penting dalam mengenal pasti PLC yang melaksanakan langkah untuk mempertingkatkan amalan dan pendedahan ESG mereka.
Sejak ia dilancarkan pada 2014, jumlah konstituen dalam indeks itu telah meningkat dua kali ganda daripada 24 kepada 76.
Sebagai sebahagian usaha berterusan Bursa Malaysia dalam menggalakkan penerimaan amalan ESG, metodologi keseluruhan dan skor ESG PLC kini tersedia di laman webnya.
Abdul Wahid berkata untuk melayakkan syarikat disenaraikan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, skor ESG akan dinilai berdasarkan Model Penarafan FTSE4Good.
“PLC yang merekodkan skor minimum 2.9 daripada lima dan boleh menunjukkan mereka melakukan langkah untuk menguruskan risiko ESG yang penting akan dimasukkan ke dalam indeks tersebut,” katanya.
Beliau berkata Bursa Malaysia akan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingannya bagi menentukan keperluan menggabungkan lebih banyak elemen pelaburan lestari dan bertanggungjawab (SRI) dalam indeks ESG yang boleh sesuai secara lebih baik dengan landskap pelaburan tempatan.
Selain indeks-indeks berkaitan ESG, beliau berkata Bursa Malaysia mempunyai peranan rintis dalam menarik minat PLC supaya dapat memupuk pendedahan dan amalan ESG yang baik.
Dalam masa yang sama, pihak bursa juga membantu PLC sepanjang usaha kelestarian mereka menerusi penyediaan garis panduan komprehensif serta maklum balas, melakukan pelbagai sokongan dan latihan dalam bidang seperti perubahan iklim dan antirasuah.
“Kalangan penerbit tersenarai kami juga meraih manfaat luas daripada portal Bursa Sustain, sebuah repositori pengetahuan sehenti untuk tadbir urus korporat serta pelaburan lestari dan bertanggungjawab,” katanya.
— BERNAMA