
Laporan/foto: Mohd Yusof Abd Samad (Tangkak)
TANGKAK, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan perjumpaan dan perbincangan khusus mengenai libat urus FAMA bersama pemain industri durian, semalam.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA Mohammad Mustahapa Awang, perjumpaan diadakan bagi memastikan produk dari FAMA sama ada buah-buahan dan sebagainya memenuhi permintaan orang ramai.
“Selain itu, ia juga bagi memastikan kualiti produk khususnya durian sentiasa terjamin malah memenuhi permintaan tanpa ada sebarang lambakan sehingga menyebabkan kejatuhan harganya.
“Pada sesi perjumpaan ini, kami juga turut membincangkan tentang mempelbagaikan penghasilan produk-produk baharu berasaskan durian bagi memenuhi permintaan pembeli dan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pada sesi perjumpaan bersama pemain industri durian di Pusat Operasi FAMA Daerah Tangkak, di sini semalam.
Tambah beliau, pihak FAMA juga telah menyenaraikan beberapa kaedah pemasaran mengikut situasi seperti pemasaran secara atas talian yang merupakan antara kaedah yang mudah dan cepat dengan menggunakan pelbagai platform media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Instagram dan platform yang bersesuaian.
“Kaedah kedua pula, jualan terus dari ladang atau JTDL bagi memastikan produk berkenaan khususnya buah durian diperolehi oleh para pembeli dalam keadaan masih segar dan terjamin kualitinya.
“FAMA juga mempunyai 157 buah bilik dingin beku diseluruh negara dan berkeupayaan menampung 1,100 tan metrik pada satu-satu masa bagi membantu mengatasi sebarang lambakan hasil pertanian,” ujarnya.
Mustahapa memaklumkan, pihak FAMA turut menyediakan latihan dan kursus bagi mereka yang ingin bergiat dengan produk makanan yang berasaskan pertanian bagi membantu ekonomi harian mereka.
Pemilik dusun durian Eun Lim, yang juga merupakan pembekal durian kepada FAMA di daerah ini selama 30 tahun berkata sambutan yang diterima terhadap raja buah sangat memberangsangkan walaupan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, malah pemasarannya juga menjadi lebih baik.
“Saya turut mengeksport durian ke beberapa negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan China.
“Durian yang di eksport ke luar negara akan dibungkus dalam dua bentuk iaitu dalam bentuk asal (asli) dan juga dalam bentuk dipeskan isi-isi durian yang terbaik,” ujarnya.
-NI-