Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Telah Ambil Langkah Pinda Peraturan Bagi Patuhi RCEP

By 23 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: KPDNHEP

PUTRAJAYA, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah mengambil langkah untuk meminda undang-undang dan peraturan yang berkaitan bagi mematuhi obligasi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata antara undang-undang yang memerlukan pindaan adalah berkaitan undang-undang harta intelek (IP).

“Ini penting untuk diambil perhatian bahawa pindaan ini sejajar dengan langkah yang diambil oleh kementerian dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk memastikan perlindungan harta intelek yang berkesan di Malaysia.

“Dengan undang-undang IP yang diperkukuhkan, saya percaya ia akan meningkatkan keyakinan pelabur dan memudahkan perdagangan dengan rakan kita. Menerima perjanjian antarabangsa seperti Protokol Madrid dan Perjanjian Budapest akan memudahkan perlindungan IP untuk rakyat Malaysia juga,” katanya pada webinar Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia 2021 semalam.

Beliau menegaskan kerajaan komited untuk meratifikasikan RCEP agar Malaysia dapat menikmati faedah daripada perjanjian ini.

Mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), katanya kerajaan menyedari mengenai beberapa kebimbangan yang dibangkitkan mengenai isu-isu seperti perolehan kerajaan, syarikat milik negara, akses pasaran dan ruang dasar bagi kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah dan inisiatif secara bebas.

“Oleh itu, saya percaya kajian manfaat kos yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan dapat menyatakan kelebihan dan kekurangan perjanjian itu dengan jelas sebelum keputusan dibuat mengenai perkara itu.

“Ciri-ciri penting CPTPP dan RCEP ialah pendekatan yang seimbang dan inklusif terhadap liputan, perlindungan dan penguatkuasaan hak IP untuk mengurangkan halangan berkaitan IP bagi perdagangan,” katanya.

Hasnol berkata antara kelebihan RCEP dan CPTPP adalah merapatkan e-dagang dan pendigitalan.

Oleh itu, katanya kerajaan komited untuk mengenal pasti dan meningkatkan usaha dalam membantu entiti perniagaan berhubung dengan pasaran perdagangan digital antarabangsa dengan menghapuskan halangan perdagangan.

Beliau berkata kerajaan turut berusaha untuk memulihkan ekosistem perniagaan tempatan dengan melaksanakan beberapa program bersasar untuk pelbagai segmen seperti iklan digital dan promosi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperkenalkan pasaran khusus dan mengukuhkan infrastruktur undang-undang untuk melindungi pengguna.

“Dalam usaha kami memulakan proses pemulihan ekonomi, selain mengukuhkan perniagaan domestik kita dengan kaedah yang sesuai, dengan ratifikasi RCEP, kita juga mungkin mempunyai peluang untuk mengubah tumpuan kita kepada pasaran baharu di luar negara dan meninjau peluang yang baik.

“Faedah daripada perjanjian perdagangan bebas seperti tarif yang lebih rendah dan akses yang lebih baik kepada pasaran asing akan membantu perniagaan dan perlu digunakan untuk mengeluarkan kita daripada situasi yang tidak menggalakkan ini,” katanya.

Beliau berkata perjanjian perdagangan ini juga akan memudahkan kemasukan pelaburan yang berkualiti ke Malaysia dan ini akan memberi impak positif kepada usaha Malaysia untuk pemulihan ekonomi.

Kumpulan pemikir telah menggesa kerajaan untuk mempercepatkan proses ratifikasi RCEP dan CPTPP untuk kepentingan rakyat Malaysia.

Setakat ini, empat negara iaitu Singapura, Thailand, China dan Jepun telah meratifikasi perjanjian RCEP.

Selepas diratifikasi oleh enam negara ASEAN dan tiga negara bukan ASEAN, RCEP akan berkuat kuasa dalam 60 hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda