Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Penanggung Insurans Hayat, Pengendali Takaful Keluarga Lanjut Tangguh Bayaran Premium, Sumbangan Sehingga 31 Disember

By 23 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan

PUTRAJAYA, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) mengumumkan bahawa semua penanggung insurans hayat dan pengendali takaful keluarga telah melanjutkan Program Bantuan COVID-19 mengenai penangguhan pembayaran premium/sumbangan takaful dan langkah-langkah bantuan tambahan sehingga 31 Disember 2021 bagi pemegang polisi/sijil yang terjejas dari segi kewangan akibat pandemik.

Dalam kenyataan bersama semalam, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) turut mengumumkan bahawa semua penanggung insurans am akan terus menawarkan langkah-langkah bantuan tambahan kepada pemegang polisi yang terjejas akibat pandemik sehingga 31 Disember 2021.

“Di bawah Program Bantuan COVID-19, penanggung insurans hayat dan pengendali takaful keluarga akan terus menawarkan perlindungan insurans/takaful kepada pemegang polisi/sijil yang terjejas termasuk mereka yang tidak dapat menjana pendapatan akan mempunyai tempoh penangguhan selama tiga bulan (atau 90 hari) untuk membayar premium/sumbangan yang perlu dibayar,” menurut LIAM dan MTA.

Mereka berkata lanjutan program bantuan itu sebagai maklum balas kepada keperluan pemegang polisi/sijil yang terjejas yang mungkin terus menghadapi masalah kewangan semasa pandemik COVID-19 ini.

“Penangguhan pembayaran premium/sumbangan selama tiga bulan telah diperkenalkan sejak April 2020 sebagai program penangguhan premium/sumbangan pilihan apabila pemegang polisi/sijil boleh menghubungi penanggung insurans/pengendali takaful keluarga mereka untuk memohon program bantuan ini,” katanya.

Selain itu, mereka berkata penanggung insurans hayat dan pengendali takaful keluarga telah memberi jaminan untuk membantu pemegang polisi/sijil yang memerlukan dan tidak dapat membuat pembayaran premium insurans/sumbangan takaful berikutan kehilangan pekerjaan atau impak lain ke atas ekonomi akibat pandemik.

“Ini termasuk individu yang telah dijangkiti atau kehilangan pendapatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami kerugian akibat impak ekonomi daripada situasi COVID-19,” katanya.

Sehingga 17 Mei, lebih 1.2 juta pemegang polisi insurans hayat dan 500,000 pemegang sijil takaful keluarga telah mendapat manfaat daripada inisiatif penangguhan pembayaran premium/sumbangan dengan nilai premium/sumbangan berjumlah lebih RM2.6 bilion untuk insurans hayat dan RM800,000 untuk takaful keluarga.

Sementara itu, PIAM berkata industri insurans am telah menggerakkan langkah-langkah bantuan berjumlah RM69 juta setakat ini, termasuk penangguhan dan bayaran ansuran lanjutan premium tempoh waranti premium 60 hari dan membenarkan pembaharuan untuk jangka pendek.

Katanya walaupun terdapat sekatan untuk Tunai Sebelum Perlindungan (CBC) dan polisi tarif, beberapa ahli PIAM telah membenarkan penangguhan premium untuk bukan CBC/polisi tarif atas inisiatif mereka sendiri untuk membantu pemegang polisi yang menghadapi masalah kewangan.

“Penanggung insurans am turut tampil memberikan bantuan kewangan yang memberi manfaat kepada 190,000 pemegang polisi.

“Dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 baru-baru ini, penanggung insurans am akan terus memberikan bantuan ini kepada pemegang polisi mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pemegang polisi disaran untuk menyemak dengan penanggung insurans masing-masing mengenai langkah-langkah bantuan ini berikutan pertimbangan akan diberikan mengikut kes berdasarkan peruntukan taja jamin penanggung insurans itu.

“Dengan langkah-langkah bantuan tersebut, kami berharap pemegang polisi/sijil yang terjejas akibat COVID-19 dapat meneruskan kehidupan mereka dalam tempoh sukar ini dan diberi bantuan yang amat diperlukan untuk menghadapi impak dari segi kesihatan dan ekonomi daripada virus tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda