Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Umum Bantuan Khas COVID-19

By 28 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan

Foto: RTM

PUTRAJAYA, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC), satu lagi bantuan tunai yang dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, berkata ini merupakan sebahagian daripada Bantuan Tunai Langsung berjumlah RM10 bilion, selain Bantuan Prihatin Rakyat yang diumum sebelum ini bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun ini.

Di bawah BKC, Muhyiddin berkata isi rumah miskin tegar akan menerima RM500 pada Ogos dan November serta RM300 pada Disember, manakala individu bujang miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

Isi rumah kategori B40 pula, menurutnya akan menerima bantuan RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala individu bujang kategori sama akan menerima bantuan RM200 pada Ogos.

Kategori M40 turut tidak ketinggalan dengan isi rumah kategori ini akan menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bagi individu bujang kategori sama akan menerima RM100, kedua-duanya pada Ogos ini, menurutnya.

Mengenai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang melibatkan nilai keseluruhan RM4.9 bilion, Perdana Menteri memaklumkan bayaran tambahan sehingga RM500 yang diumum semasa PEMERKASA TAMBAHAN yang lepas akan mula dibayar secara berperingkat mulai esok.

BPR fasa ketiga pula dengan kadar bantuan antara RM100 sehingga RM1,400 akan dibayar September ini, selain bayaran ke atas kes lulus rayuan BPR turut akan dibayar pada bulan sama.

Selain itu, beliau turut mengumumkan Bantuan Kehilangan Pendapatan yang dijangka memanfaatkan sehingga sejuta individu melibatkan implikasi kewangan RM500 juta, dengan RM500 disalurkan Oktober ini kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun ini.

“Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan sewajarnya. Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu saudara-saudari meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan mendatang,” katanya dalam pengumuman itu yang disiarkan di saluran televisyen utama negara.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan turut memperluas Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Perkeso terutama graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal di mana mereka ini boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs bagi menerima elaun sekurang-kurangnya RM300.

Perdana Menteri berkata beliau sedar ramai yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, dan walaupun berjuta rakyat Malaysia menerima manfaat bantuan tunai dari kerajaan sejak Mac tahun lepas dan ramai lagi menerima bantuan kerajaan dalam bentuk yang pelbagai, bantuan perlu terus dipertingkat kepada rakyat selagi pandemik itu berlanjutan.

“Ada yang terpaksa meminjam beras dari jiran, diusir dari rumah sewa, makan sekali sehari mengikat perut. Ada yang meminjam wang dari saudara mara dan sahabat yang lebih berkemampuan untuk membeli barangan dapur. Semuanya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga.

“Kerajaan mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul saudara saudari sekalian dan tidak pernah putus terus membantu sedaya mampu,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda