
Foto: Facebook Badminton Association of Malaysia
PUTRAJAYA, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Pemain perseorangan wanita negara S. Kisona muncul juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol 2021 selepas menewaskan rakan senegara Goh Jin Wei di La Nucia, semalam.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 yang kembali selepas berehat sebentar untuk memperbaiki prestasinya, menewaskan bekas juara remaja dunia dua kali 21-14, 21-19 dalam aksi yang berlangsung 31 minit.
Ia adalah kemenangan kedua Kisona ke atas Jin Wei selepas mengatasi pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada kejohanan Masters Thailand.
Terdahulu, pada peringkat separuh akhir, Kisona menyingkirkan pemain Perancis Yaelle Hoyaux 21-18, 21-10 manakala Jin Wei mengenepikan seorang lagi pemain negara Eoon Qi Xuan 21-17, 21-11, menurut laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.com.
Sementara itu, gandingan Tee Kai Wun-Teoh Mei Xing mengungguli acara beregu campuran selepas menewaskan pilihan ketiga Callum Hemming-Jessica Pugh dari England.
Pasangan negara terpaksa bermandi peluh dalam tempoh 50 minit pertarungan sebelum berjaya meraih gelaran antarabangsa sulung mereka dengan kemenangan 21-15, 13-21, 21-19.
— BERNAMA