Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KKMM Fokus Tingkat Komunikasi Jayakan Pelan Pemulihan Negara

By 16 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Tingkatkan aspek komunikasi dan sistem penyampaian maklumat berkesan antara fokus Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata usaha itu termasuk melipatgandakan hebahan vaksinasi COVID-19, berita ekonomi di stesen penyiaran televisyen, program kesihatan mental serta siaran program mengenai COVID-19.

Dalam sidang media mengenai inisiatif KKMM dalam Pelan Pemulihan Negara secara maya hari ini, Saifuddin berkata semua agensi di bawah KKMM telah diarahkan untuk melipatgandakan usaha pendaftaran vaksin terutamanya di luar bandar.

“Sebagai contohnya, Japen (Jabatan Penerangan) turun padang di kawasan luar bandar untuk bantu mereka bantu daftar (vaksin) kerana sebahagian daripada mereka tidak pandai guna MySejahtera dan Japen bantu pendaftaran secara manual untuk masukkan data berkaitan,” katanya serta menambah Japen juga mengeluarkan risalah secara salinan cetak sebagai satu daripada platform hebahan.

Katanya, stesen radio di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya di Pantai Timur turut diminta mempergiat hebahan vaksinasi memandangkan timbul isu penerima vaksin di negeri berkenaan tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Saifuddin berkata fokus berita ekonomi pula bertujuan memberi pemahaman lengkap kepada rakyat mengenai kedudukan ekonomi negara.

“Semua stesen televisyen sememangnya menyiarkan laporan ekonomi namun terdapat kemungkinan penonton tidak perasaan mengenai kandungan tersebut,” katanya serta menambah Berita RTM kini telah mempakej semula laporan ekonominya.

Mengenai program kesihatan mental pula, beliau berkata konteks komunikasi sokongan telah dimulakan di program Selamat Pagi Malaysia di RTM yang menampilkan pakar psikiatri dan juga kaunselor dan program sama akan dipanjangkan di stesen televisyen lain atas sambutan menggalakkan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Muhyiddin berkata pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan secara berperingkat.

Saifuddin berkata pelan tersebut mengambil masa panjang namun ia adalah pelan realistik dan setiap tindakan atau keputusan diambil adalah bagi menyeimbangkan aspek kesihatan dan kelangsungan hidup masyarakat.

Dalam pada itu, katanya Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) tidak akan tergugat dengan Pelan Pemulihan Negara dan tawaran dana terus diagihkan kepada penggiat seni budaya.

PRISMA dilancarkan pada 5 Feb lepas untuk membantu penggiat industri yang terjejas akibat pandemik COVID-19 bangkit semula meneruskan kelangsungan dan kelestarian industri kreatif negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda