Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih 90 Peratus Usahawan PMKS, Informal Tutup Perniagaan jika PKP Berterusan

By 4 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana (PMKS) dan informal menghadapi risiko penutupan perniagaan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata justeru, kementerian itu akan meneruskan pelaksanaan langkah intervensi di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi, bantuan pembiayaan dan moratorium bersasar bagi membantu usahawan menangani impak PKP.

Beliau juga mendedahkan bahawa hasil dapatan daripada dua kaji selidik secara dalam talian semasa tempoh PKP pada Mac 2021 amat membimbangkan.

“Sebanyak 54 peratus daripada 3,855 responden, terutama perusahaan mikro mengatakan mereka hanya mampu bertahan bagi tempoh tiga hingga enam bulan sahaja.

“Manakala 72 peratus usahawan menjangkakan perniagaan akan terus mengalami kerugian,” katanya pada sidang media secara dalam talian mengenai Laporan Kaji Selidik Impak Pelaksanaan PKP Terhadap Usahawan di Malaysia, pada Jumaat.

Wan Junaidi berkata keadaan itu dikhuatiri mengakibatkan kehilangan pekerjaan bagi lebih tiga juta rakyat Malaysia.

“Perusahaan mikro dan informal yang paling teruk terjejas kerana produk dan perkhidmatan mereka adalah dalam sektor bukan penting dan mereka juga tidak mempunyai simpanan dan aliran tunai yang kukuh.

“Penting untuk memastikan jenis bantuan bersesuaian yang dapat diberikan bagi membantu usahawan mikro serta informal, dan inisiatif PEMERKASA Tambahan dijangka mampu menyokong daya tahan golongan ini sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kaji selidik yang dijalankan pihaknya ke atas pengguna yang melibatkan 2,888 responden pula mendapati penguatkuasaan PKP turut memberi kesan negatif ke atas kehidupan rakyat, berbeza mengikut kumpulan pendapatan.

“Golongan B40 lebih terkesan dengan isu kewangan, manakala golongan M40 dan T20 terkesan dengan isu sosial,” katanya.

Wan Junaidi berkata, kajian tersebut turut mendapati pekerja yang bekerja di sektor swasta merupakan mereka yang paling berisiko tinggi untuk diberhentikan kerja.

“Lebih 50 peratus daripada kumpulan B40 dan hampir 50 peratus daripada kumpulan M40 telah mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 10 hingga 30 peratus ekoran PKP.

“Manakala 30 peratus daripada kumpulan T20 telah mengalami pengurangan pendapatan lebih 50 peratus,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda