
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Masyarakat Orang Asli semakin terbuka menerima suntikan vaksin COVID-19 setelah siri penerangan dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Ianya terbukti apabila seramai 60 orang masyarakat tersebut di negeri Selangor menerima suntikan vaksin jenis Pfizer di Hospital Orang Asli Gombak hari ini.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata mereka terdiri daripada 27 orang Tok Batin sementara 33 orang lagi adalah warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang hadir secara sukarela.
“Mereka kelihatan seronok serta tidak sabar untuk menerima vaksin, malah Tok Batin juga boleh dianggap sebagai petugas hadapan kepada masyarakat Orang Asli.
“Tok Batin memainkan peranan penting bagi menambah keyakinan masyarakat Orang Asli untuk mendaftar sebagai penerima suntikan bagi membantu kerajaan memutuskan penularan virus ini di perkampungan mereka.

Abdul Rahman bertanya khabar dengan beberapa Tok Batin yang hadir untuk menerima vaksin di Hospital Orang Asli Gombak, hari ini.
“Sehingga kini seramai 66,859 orang masyarakat Orang Asli telah mendaftar dan seramai 26,469 orang telah menyatakan persetujuan untuk menerima suntikan,” katanya semasa sidang media di hospital tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah JAKOA Mohd Zamri Mustajap, Pegawai Daerah Gombak Shukri Mohamad Hamim dan Pengarah HOAG Dr Izandis Mohamad Sayed.
Menurutnya, masyarakat Orang Asli sangat takut kepada virus COVID-19 sehingga mereka pernah memagar perkampungan mereka supaya orang luar kawasan tidak masuk ke kampung mereka.
“Masyarakat ini sebenarnya sangat takut kepada virus ini, namun kini ianya berbeza apabila dapat menerima suntikan vaksin hasil penerangan dan maklumat-maklumat yang disampaikan kepada mereka.
“Kita tidak mahu masyarakat Orang Asli menjadi penyebar virus COVID-29 dan sebab itu penting untuk mengambil suntikan vaksin ini.
“KPLB menyeru masyarakat Orang Asli dan penduduk luar bandar di seluruh negara agar mendaftar pengambilan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Sementara itu, seorang Tok Batin, Nengkak anak Mat, 80, berkata beliau setuju disuntik vaksin untuk merasai pengalaman disuntik sebelum memaklumkan kepada anak-anak buahnya.

Abdul Rahman dan Nengkak bergambar bersama semasa meninjau proses vaksinasi masyarakat orang asli di Hospital Orang Asli Gombak hari ini.
“Memang tidak sakit langsung malah digigit nyamuk terasa lebih sakit lagi.
“Saya akan maklumkan kepada anak-anak buah saya untuk terima suntikan vaksin ini kerana penyakit COVID-19 ini sangat bahaya, virusnya kita tidak nampak,” katanya yang merupakan Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Kurau, Pulau Carey.
Sependapat dengan beliau, Ilan Johos, berkata pelbagai persepsi negatif di kalangan masyarakat Orang Asli mengenai vaksin COVID-19 akibat terpengaruh dengan berita yang disebarkan pihak tertentu.
“Ketika dimaklumkan tentang pendaftaran vaksin ini pelbagai andaian dibangkitkan seperti vaksin ini boleh memudaratkan kesihatan hingga menyebabkan kematian.
“Hari ini saya ingin buktikan bahawa semua itu tidak benar dan sekiranya tidak berlaku apa-apa kejadian ke atas diri saya, anak-anak buah saya perlu mendaftar suntikan juga.
“Saya adalah orang pertama di kampung saya menerima vaksin dan rasa sangat seronok hari ini,” katanya.
-RI