
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/AADK
SEREMBAN, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA) 2021 peringkat Negeri Sembilan disambut sederhana dengan sesi perutusan Menteri Besar Negeri Sembilan secara dalam talian di laman sosial facebook Agensi Antidadah (AADK) Negeri Sembilan semalam.
Dengan tema “Waghih Bangkit, Moh Kita Cegah”, sambutan tersebut menyasarkan untuk menggembling seluruh masyarakat agar bangkit bersama-sama dan berganding bahu bagi menyediakan persekitaran selamat bagi menjaga kesejahteraan hidup rakyat di Negeri Sembilan.
Menteri Besarnya merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah Aminuddin Harun, berkata sempena tema peringkat kebangsaan pada tahun ini iaitu “Kongsi Fakta Dadah, Selamatkan Nyawa”, maka setiap rakyat, perlu mengetahui bahawa masalah penagihan dadah bukannya suatu isu yang ringan dan mudah untuk ditangani.
“Kita perlu mengetahui info terkini berkaitan data statistik, senario dan profil dadah terkini, kemunculan dadah-dadah jenis baru khususnya bahan psikoaktif baharu (NPS) dan pihak-pihak yang berwajib yang boleh dirujuk dan disalurkan bagi memastikan kita boleh mencegah dari peringkat awal lagi, ancaman dadah durjana ini.
“Fokus tindakan dalam menangani permasalahan dadah di kawasan-kawasan berisiko tinggi sedang dipergiatkan, walaupun dalam tempoh pandemik COVID 19 ini kerana masalah dadah ini tidak pernah berhenti walaupun sesaat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan Dr Hadijah Baba, berkata ada sesetengah fakta itu elok untuk dikongsi sekiranya memberi manfaat kepada orang lain kerana sesungguhnya dari ilmu lahirlah kefahaman dan apabila kefahaman telah terbentuk boleh membantu kita menghindari perbuatan berisiko dan pelencongan sosial.
“Ibu bapa perlu prihatin akan perubahan tingkah laku anak-anak luar dari kebiasaan seperti mengasingkan diri, tidak balik rumah, cepat marah, tidak tidur malam berhari-hari, tidur lebih dari biasa dan pelbagai lagi.
“Ibu bapa juga boleh rujuk dengan guru, kaunselor atau pegawai Antidadah untuk mendapat kepastian,” katanya.
-FF