Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Derma Darah Pupuk Sifat Prihatin Warga Marang

By 23 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)

MARANG, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah Marang (PDM) dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) sekali lagi menganjurkan kempen derma darah yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 Jun lalu di Dewan Badminton Pejabat Daerah Marang.

Petugas-petugas Unit Tabung Darah HSNZ sedang mengendalikan sesi derma darah di Dewan Badminton Pejabat Daerah Marang.

Petugas-petugas Unit Tabung Darah HSNZ sedang mengendalikan sesi derma darah di Dewan Badminton Pejabat Daerah Marang.

Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata penganjuran program derma darah kali ini adalah satu inisiatif tahap kesedaran warga PDM untuk membantu pihak hospital menambah bekalan darah sedia ada supaya mencukupi untuk bekalan hari mendatang.

“Program derma darah kali ini ada sedikit kelainan di mana ianya diadakan selama tiga hari memandangkan kekangan pergerakan orang ramai dan warga PDM sendiri memerlukan hari yang lebih untuk mencapai sasaran penderma yang ditetapkan,” katanya semasa meninjau program berkenaan, baru-baru ini.

Kakitangan Pejabat Daerah Marang sedang menderma darah.

Kakitangan Pejabat Daerah Marang sedang menderma darah.

Tambah beliau lagi, tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah telah meningkat dan tiada lagi yang risau untuk menderma darah kerana momokan takut gemuk atau penggunaan jarum yang besar boleh menyakitkan penderma.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Unit Tabung Darah HSNZ Suryati Ghani, kempen seperti ini adalah platform terbaik untuk orang ramai tampil menderma darah supaya bantuan mereka akan menjadi saluran menyelamatkan banyak nyawa apabila berlaku kemalangan atau insiden yang memerlukan penggantian darah.

Petugas-petugas Unit Tabung Darah HSNZ sedang memantau keadaan perderma darah.

Petugas-petugas Unit Tabung Darah HSNZ sedang memantau keadaan perderma darah.

“Pihak kami sering menanamkan semangat kepada para penderma bahawa derma darah adalah secara sukarela dan ianya tanpa paksaan dan bayaran. Itulah prinsip dan polisi pendermaan darah.

“Pihak kami sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak terutamanya jabatan-jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan kempen derma darah bagi membantu Pusat Darah Negara dalam memenuhi misi mendapat bekalan darah yang selamat dan mencukupi,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda