Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

4,000 Penduduk Perlis Di Jangka akan Terima Manfaat Melalui MOVAC

By 27 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 4,000 penduduk di negeri ini akan mendapat suntikan vaksin COVID-19 melalui Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang telah dilancarkan pada Jun lepas.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Negeri Azman Mohd Yusuf, program ini merupakan kerjasama di antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan kerajaan negeri.

“MOVAK memberi impak yang positif dalam memudahkan para penduduk di negeri ini terutama yang berada di luar bandar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Program ini di jadualkan bermula pada hari ini sehingga hujung Ogos atau September 2021 yang mana purata pemberian dos pada setiap hari adalah di antara 200 hingga 400 suntikan perlu dicapai,” katanya ketika ditemui pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Simpang Empat Kangar, di sini, semalam.

Beliau berkata suntikan dos kedua akan dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan negeri ini dapat beralih ke fasa ketiga apabila 40 peratus rakyat telah lengkap di vaksin.

“Sejak beberapa hari ini, kes positif di negeri ini kembali aktif.

“Saya ingin mengingatkan rakyat di negeri ini agar sentiasa mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, memakai hand sanitizer, mengambil suhu dan mengamalkan penjarakan fizikal bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Perlis Zulkhairi Zainal berkata pada hari pertama ia dilaksanakan sejumlah 150 hingga 200 penerima di kawasan Simpang Empat akan mendapat suntikan vaksin COVID-19.

“Di Perlis sebanyak lapan Parlimen akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan program MOVAC ini di antaranya adalah tiga Parlimen Arau, dua Parlimen Kangar dan tiga Parlimen Padang Besar.

“Mengikut perancangan, bas bergerak ini akan melaksanakan pemberian vaksin sebanyak tiga kali seminggu bermula pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang,” tambahnya.

Tambah beliau, ahli Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di setiap kawasan juga akan menjadi sukarelawan untuk program MOVAC.

“Untuk prosedur pemberian vaksin, hanya enam orang sahaja dibenarkan berada di dalam bas bergerak, namun setakat hari ini hanya tiga orang sahaja akan menerima suntikan pada satu-satu masa,” katanya.

Seorang penerima vaksin yang ditemui, Norhayati Abdullah, 43, mengucapkan terima kasih di atas inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dan persekutuan dengan melaksanakan program MOVAC ini.

“Dengan pelaksanaan program seumpama ini secara tidak langsung dapat memudahkan saya dan para penduduk yang berhampiran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19,” jelasnya.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Berenee Yahaya dan DUN Simpang Empat Nurulhisham Yaakob.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda