Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Bantuan Bakul Makanan Parlimen Labuan Mula Diagihkan

By 5 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Program Bantuan Bakul Makanan bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Parlimen Labuan akan mula diagihkan esok kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menurut Ahli Parlimennya Datuk Rozman Isli, sekitar 4500 ke 5000 bakul makanan diagihkan melalui ketua-ketua kampung yang menyediakan senarai penerima di setiap kampung.

“Kita memberi keutamaan kepada mereka yang terkesan dan terdesak seperti mereka yang hilang punca pendapatan dan pekerjaan semasa pandemik COVID-19, selepas itu kita melihat kepada golongan lain seperti mengalami pengurangan gaji atau mereka yang mengalami penyusutan simpanan kewangan.

“Kita juga bekerjasama dengan NGO dan badan kebajikan dan barangan yang akan diagihkan adalah barangan yang menjadi keperluan kebanyakan warga Labuan antaranya beras, minuman dan lain-lain,” katanya semasa ditemui media ketika serahan bantuan di Kampung Bukit Kuda, di sini semalam.

Madzan Yunus.

Madzan Yunus.

Rozman turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut permintaan Ahli-ahli Parlimen dengan menyalurkan peruntukan RM300,000 untuk setiap parlimen untuk bantuan bakul makanan bagi diagihkan kepada penduduk yang terkesan.

“Tahniah kepada pihak-pihak yang mengusahakan bank makanan yang di Labuan kerana telah membantu masyarakat yang terdesak mendapatkan bekalan makanan.

“Kepada mereka yang berkemampuan sumbanglah ke bank-bank makanan yang ada kerana pada masa yang mencabar ini kita perlu menunjukkan rasa kasih sayang dengan membantu masyarakat lain,” jelasnya.

Sementara itu Ketua Kampung Bukit Kuda Madzan Yunus, bersyukur kerana menerima ada bantuan bakul makanan yang boleh disalurkan kepada penduduk kampung.

Osman Dullah.

Osman Dullah.

“Bantuan ini khas untuk membantu masyarakat Labuan yang terkesan dengan COVID-19 kerana ramai pekerja harian yang putus pendapatan memang memerlukan bantuan ini sekaligus meringankan bebanan yang ditanggung,” katanya.

Bagi ketua Kampung Sungai Bangat, Osman Dullah, merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan dan Ahli Parlimen yang menyalurkan bantuan bakul makanan.

“Bantuan ini boleh dimanfaatkan untuk membantu penduduk yang terkesan dan kita akan agihkan sebanyak 30 bakul makanan asas untuk fasa pertama serta akan diagihkan selebihnya pada fasa seterusnya.

“Saya mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan kerajaan dan Ahli Parlimen yang selalu mengambil berat dengan keperluan rakyat semasa penularan COVID-19 ini,” jelasnya.

-RI

Tinggalkan komen anda