
Laporan/foto: Norfarhana Mohd Zainal Abidin/Farhan Abdullah (Petaling)
SERDANG, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 30 orang kumpulan pertama sukarelawan daripada Sukarelawan Pemerkasaan dan Keterlibatan Komuniti COVID-19 (VCEE19) telah mula melapor diri di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi membantu tugas-tugas bukan klinikal.
Ketua Sukarelawan VCEE19 Wan Hilmi Wan Mohd Nor, ketika ditemui berkata kesemua sukarelawan yang melapor diri hari ini datang tanpa mengharapkan apa-apa bayaran mahupun balasan kerana semangat yang tinggi untuk berkhidmat kepada negara.
“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dan daripada pelbagai negeri antaranya dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan malah ada juga di antara mereka yang datang dari Kedah dan Johor.
“Walaupun berdepan dengan risiko jangkitan, ianya tidak mematahkan semangat semua sukarelawan kerana kalau bukan kami yang membantu negara pada saat sebegini, siapa lagi,” katanya ketika ditemui sempena taklimat VCEE19 di PKRC tersebut, di sini hari ini.
Tambah beliau, mereka mempunyai lebih daripada 1,200 sukarelawan berdaftar buat masa ini dan turut membuka ruang kepada orang awam yang berminat untuk mendaftar sebagai sukarelawan VCEE19 dengan melayari laman sesawang vcee19.org.
“VCEE19 merupakan Agent Basmi COVID-19 (ABC-19) iaitu badan sukarela yang dilantik secara rasmi bawah Jawatankuasa Pemerkasaan Komuniti, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula 1 Mac 2021.
“Dalam masa sama, kesemua sukarelawan turut diberikan taklimat berkenaan tugas dan operasi di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 serta turut dibawa menjalani ujian calitan sebelum dibenarkan untuk memulakan tugas,” katanya.
-RI