Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

e-book Rahsia Perlis Perangi COVID-19 Dilancarkan

By 6 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah (Kangar) 

KANGAR, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Perlis yang merupakan antara lima negeri yang berjaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara telah melancarkan sebuah buku secara digital bertajuk Rahsia Perlis Perangi COVID-19, yang memaparkan pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri dalam memerangi wabak COVID-19 sejak tahun 2020.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Azman Mohd Yusof, terbitan buku ini menyingkap kembali situasi pandemik COVID-19 di negeri ini yang mula dikesan pada Mac 2020 sehingga 30 Jun 2021 yang mana jumlah kes sebanyak 594 kes secara keseluruhan.

“Tindakan pantas yang diambil pada awal penularan wabak itu dengan membuka pusat kuarantin di Dewan 2020 Kangar dan membuat pengasingan secara berpusat walaupun pada ketika itu negeri masih belum mempunyai pengalaman dalam menguruskan pandemik tersebut.

“Usaha dan kerjasama antara jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan di barisan hadapan serta penglibatan pihak swasta telah memudahkan kerajaan negeri bagi menguruskan pengurusan kes COVID-19 di negeri ini,” katanya pada pemberita ketika pelancaran buku tersebut di Kompleks DUN Kangar, di sini semalam.

Tambah beliau, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) menunjukkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) rakyat di negeri ini adalah pada tahap yang amat baik.

“Inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri melalui pelaksanaan beberapa aktiviti seperti Kempen Pembudayanan Budaya Norma Baharu dengan penglibatan para pemimpin masyarakat di setiap peringkat dan agensi-agensi serta jabatan-jabatan yang berkaitan berjaya mengawal penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan negeri turut membatalkan beberapa program tahunan negeri seperti Pesta Angin Timur dan Pesta Air bagi memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan,” katanya lagi.

Azman berkata, kerajaan negeri juga telah mengatur pelbagai strategi dalam memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini berjaya.

“Kini, program outreach menjadi antara strategi dalam membantu para penduduk di kawasan pedalaman dan golongan warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan lima strategi utama dalam memastikan Perlis mencapai Imuniti kelompok menjelang Disember 2021,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, orang ramai yang berminat untuk membaca buku ini boleh melayari http://online.anyflip.com/koihn/uqgr/mobile/index.html.

-NI-

Tinggalkan komen anda