Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Ibu Kandung, Teman Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Dera

By 18 Julai 2021Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak

GOMBAK, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Polis menahan tiga individu termasuk ibu kandung dan teman lelakinya bagi membantu siasatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Turut ditahan seorang lagi lelaki yang merupakan penjaga kanak-kanak berkenaan dalam kejadian semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya dimaklumkan seorang lelaki yang menjumpai dua kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak terurus sedang bermain tanpa pengawasan.

“Siasatan mendapati kanak-kanak perempuan berusia dua dan tiga tahun itu tinggal bersama ibu kandung serta teman lelakinya di sebuah rumah sewa di Taman Samudera, Batu Caves.

“Pemeriksaan fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di bahagian kedua-dua belah tangan, kaki, pipi serta dagu.

“Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan doktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak polis telah menahan semua suspek yang berusia 22 hingga 35 tahun pukul 9.30 malam untuk membantu siasatan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Selayang untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 hari ini.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.

-RI

Tinggalkan komen anda