Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Media Perlu Pergiat Usaha Kenal Pasti, Bongkar Berita Palsu

By 11 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menggesa pihak media pelbagai medium termasuk stesen televisyen, radio, akhbar dan platform dalam talian untuk terus mempergiat usaha mengenal pasti serta membongkar berita palsu.

Beliau juga berharap pihak media mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai ancaman berita palsu dan langkah bagi mencegah perkara tersebut.

Menurutnya, terdapat peningkatan ketara penyebaran maklumat atau berita palsu kebelakangan ini sama ada mengenai pandemik COVID-19, vaksinasi, kesihatan, sosial mahupun politik dan keadaan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan orang ramai serta menjejaskan usaha membanteras penularan COVID-19 dengan berkesan.

“Dalam konteks penyebaran maklumat, pihak media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi melindungi rakyat daripada berita palsu yang berpotensi menggugat usaha kerajaan dalam memerangi COVID-19 serta memelihara kesejahteraan dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata pihak media telah memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam memerangi berita palsu sejak bermula krisis tersebut.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta beberapa agensi bertindak proaktif dalam mengekang peningkatan berita palsu terutamanya dalam konteks pandemik COVID-19.

Antaranya pemantauan oleh Pasukan Respon Pantas sejak Mac tahun lepas yang telah menangkis sebanyak 464 berita palsu, katanya.

Menurut Saifuddin, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 turut dikuatkuasakan mulai Mac 2021 bagi mencegah dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu tentang COVID-19 dan kesihatan.

“Saya yakin terhadap kematangan pemikiran masyarakat dalam membuat penilaian berita palsu. Marilah bersama-sama mencegah berita palsu,” katanya.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda