Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Operasi Pejabat Kerajaan Secara Hibrid di Lima Negeri Fasa Dua PPN

By 4 Julai 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengeluarkan garis panduan pendekatan yang digunakan bagi pengoperasian pejabat kerajaan secara hibrid iaitu keberadaan di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR) di lima negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok.

Beliau berkata kehadiran di pejabat adalah tidak melebihi 40 peratus, manakala 60 peratus adalah BDR secara penggiliran, namun ini tidak termasuk petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

“Semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan fasa PPN bagi Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah mencapai tiga indikator ditetapkan kerajaan.

Mohd Zuki berkata kehadiran di pejabat perlu disertai dokumen arahan rasmi dan pas bekerja, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata perkhidmatan di kaunter pula dibuka namun tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan pada 29 Jun lepas iaitu secara fizikal dengan tatacara pengoperasian tertentu.

“Kesemua arahan adalah terpakai bagi negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda