Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Pangkin Food Cabin Bantu Peniaga Era Pandemik COVID-19

By 19 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Pembukaan Pangkin Kabin Makanan di Tapak Arked MARA memberi nafas baharu kepada peniaga kecil bumiputera di daerah ini.

Menurut YDP Majlis Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap, nama-nama yang digunakan bagi setiap gerai kabin adalah menggunakan gabungan nilai sejarah dan konsep perniagaan moden.

“Pangkin yang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kuala Pilah, Majlis Daerah Kuala Pilah dan pihak operator swasta yang dilantik ternyata tidak mengecewakan peniaganya meskipun berdepan pandemik COVID-19.

“Penggunaan nama-nama 12 suku di Negeri Sembilan pada setiap kabin perniagaan ternyata dapat menarik perhatian penduduk sekitar dan dari mukim lain untuk hadir ke sini,” katanya ketika membuat tinjauan di pangkin tersebut, di sini baru-baru ini.

Peniaga mee kari dan laksa, Noriswan Md Isa, 37, berkata melalui wujudnya tapak perniagaan terbuka seperti ini ternyata membantu beliau yang dahulunya berniaga dari rumah kepada premis tetap.

Noriswan Md Isa dihadapan kabin Seri Lemak.

Noriswan Md Isa dihadapan kabin Seri Lemak.

“Dalam tempoh hampir dua bulan ini, perniagaan di sini memberangsangkan walaupun hanya dibenarkan untuk perkhidmatan bungkus sahaja.

“Pelanggan tetap saya juga sudah tahu lokasi tempat saya berniaga dan mudah untuk mereka datang ke sini untuk menikmati menu istimewa yang menggunakan resepi turun-temurun,” ujarnya.

Sementara itu, Nurnatasha Roslin, 26, memberitahu berbekalkan pengalaman yang ada, dia mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri di sini bersama-sama suami walaupun mengetahui cabaran berniaga dalam pandemik COVID-19 ini.

“Jika dibandingkan ketika saya bekerja dengan orang lain, berniaga sendiri lebih menguntungkan dan seronok.

“Pihak pengurusan turut menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan iaitu semua peniaga wajib menjalani kursus pengendalian makanan dan kita memastikan semua peniaga dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19,” ujarnya.

-FF

Tinggalkan komen anda