Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Penduduk Felda Bukit Puchong Nikmati Jaringan Telekomunikasi 4G Lebih Baik

By 17 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan (Pahang)/SKMM

KUANTAN, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Tuang, Felda Bukit Puchong dan Felda Bukit Mendi Bera, kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi lebih baik dengan rangkaian 4G selepas tiga infrastruktur telekomunikasi yang didirikan di sana telah siap dan beroperasi sejak awal Jun 2021.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebelum ini penduduk di penempatan tersebut mempunyai liputan komunikasi yang terhad dan menghadapi kesukaran mengakses talian internet terutamanya guru dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Puchong dan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Felda Bukit Mendi yang menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Dianggarkan sebanyak 192 talian jalur lebar tetap sedia ada di Felda Bukit Puchong dan Felda Bukit Mendi yang masih menggunakan teknologi lama berasaskan kabel tembaga akan dinaik taraf kepada rangkaian kabel gentian optik.

“Kerja naik taraf ini dilakukan adalah bagi membolehkan penduduk menikmati perkhidmatan jalur lebar tetap yang lebih laju dan stabil, dan dijangka siap menjelang suku pertama 2022,” katanya.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, beberapa inisiatif lain juga telah dirancang bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang mana antaranya adalah 10 buah menara baharu lagi akan dibina dan dijangka akan bermula dibina seawal September 2021 dan dijangka siap secara berperingkat antara Mac hingga Jun 2022.

“Antara insiatif lain yang dilakukan ialah menaik taraf 57 stesen pemancar sedia ada kepada rangkaian 4G dan kerja-kerja naik taraf akan bermula pada Ogos 2021 dan dijangka siap secara berperingkat sehingga Mac 2022 dan 4,193 buah premis akan dinaikkan infrastruktur jalur lebar tetap daripada teknologi berasaskan kabel tembaga kepada rangkaian gentian optik.

“Inisiatif ini telah bermula semenjak suku pertama 2021 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku kedua 2022,” menurut kenyataan itu lagi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda