Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sinopharm, Johnson & Johnson Lulus Bersyarat untuk Kegunaan Semasa Bencana

By 16 Julai 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: RTM

PUTRAJAYA, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada dua vaksin COVID-19 iaitu Sinopharm dan Johnson and Johnson (Janssen) untuk kegunaan semasa bencana.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-361 yang bersidang hari ini.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata langkah itu bertujuan untuk memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.

Vaksin Sinopharm atau ‘COVILO Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated’ merupakan vaksin yang dibangunkan oleh China National Biotec Group Company Limited dan dikilangkan oleh Beijing Institute of Biological Products Co Ltd (BIBP), China dengan Duopharma (M) Sdn Bhd sebagai pemegang pendaftarannya.

Sementara vaksin Janssen COVID-19 Vaccine Suspension for Injection dikilangkan oleh Janssen Pharmaceutica N.V. Belgium dengan pemegang pendaftarannya Johnson & Johnson Sdn Bhd.

Beliau berkata KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

Kerajaan komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda