Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Suntikan Vaksin COVID-19 Untuk Remaja Pahang Bermula 20 September

By 19 September 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan) 

KUANTAN, 19 Sept (Malaysiaaktif) – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memulakan proses vaksinasi kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini bermula 20 September 2021.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, seramai 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini akan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

“Keutamaan diberikan kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun dan 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

“Remaja yang terdiri dari golongan orang kelainan upaya (OKU) dari institusi-institusi pemulihan dan perlindungan termasuk dari golongan rentan serta gelandangan juga turut menjadi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin ini,” menurut kenyataan tersebut, baru-baru ini.

Menurut Wan Rosdy, individu yang terlibat akan menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah ditetapkan di bawah penyelarasan Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat-pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Selain remaja dalam kalangan para pelajar sekolah menengah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) turut terlibat pelajar-pelajar dari sekolah menengah agama negeri kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan institusi pendidikan kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Seperti yang telah ditetapkan mereka yang terlibat perlu mengisi borang kebenaran ibu bapa atau penjaga sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin ini,” katanya.

Beliau berharap, bakal para penerima vaksin, ibu bapa atau penjaga yang terlibat dapat memberikan kerjasama sebaiknya demi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat, yang secara tidak langsung dapat membantu menangani penularan wabak COVID-19.

-AH-

Tinggalkan komen anda