Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

98.3 Peratus daripada 5,726 Kes Baharu Kategori Satu dan Dua

By 27 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak 5,629 kes atau 98.3 peratus daripada 5,726 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan semalam melibatkan pesakit kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan berhubung perkembangan kes COVID-19 dalam negara semalam, beliau berkata 97 kes lagi atau 1.7 peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

“Ini menjadikan kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 2,442,224 kes. Bagi kes harian, 15 daripadanya merupakan kes import dan 5,711 adalah kes tempatan.

“Sebanyak 5,607 kes sembuh direkodkan hari ini (Selasa) menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 2,340,390. Selain itu, 598 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 308 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tujuh kluster baharu dikenal pasti dengan lima daripadanya melibatkan kluster tempat kerja serta masing-masing satu bagi kluster komuniti dan pendidikan tinggi.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara semalam ialah 0.89 dengan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar Rt paling tinggi iaitu 0.99 manakala Labuan satu-satunya negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada pukul 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda