Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Bernama
GOMBAK, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Cemburu dipercayai menjadi motif pertengkaran suami isteri hingga menyebabkan berlaku pembunuhan dalam kejadian di Kampung Laksamana, di sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang mengatakan jirannya disyaki telah membunuh diri pada pukul 12.35 pagi tadi.
Katanya, siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut antara suami (mangsa) dan isterinya (suspek) yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
“Mangsa cuba menyerang suspek dengan gunting namun suspek bertindak balas dengan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan besi kaki payung yang dipatahkan.
“Mangsa yang berusia 45 tahun itu rebah dalam keadaan berlumuran darah dan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis berjaya menemui senjata yang digunakan di bahagian belakang rumah suspek.
“Suspek berusia 26 tahun ditahan reman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur hari ini selepas laporan ujian COVID-19 diperolehi,” katanya.
-RI