Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Mohd Nasir Salman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan baru-baru ini memberi kelegaan kepada ramai pihak khususnya golongan peniaga yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.
Mereka melahirkan rasa syukur apabila orang ramai kembali mengunjungi gerai mereka untuk membeli makanan atau makan di kedai.
Peniaga gerai makanan di hentian Rawat dan Rehat (R&R) Layang Lebuhraya Senai-Desaru E22, Mustafa Kassim, 67 berkata kawasan R&R ini kembali dikunjungi orang ramai sejak dua minggu yang lalu.
“Pada cuti hujung minggu jumlah kenderaan akan bertambah di laluan Lebuhraya Senai-Desaru dan gerai-gerai di sini kembali dipenuhi orang ramai yang singgah untuk berehat atau membeli makanan,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, pengunjung di R&R ini juga turut diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Bagi mereka yang hendak makan dan minum di sini mestilah sudah lengkap divaksinasi dan kami juga menyediakan kod QR MySejahtera serta pengimbas suhu untuk digunakan oleh setiap pengunjung sebelum memasuki premis di sini,” ujarnya.
Inisiatif hebahan pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 turut dilakukan oleh petugas-petugas Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru menerusi program Info On Wheels (IOW).
Menurut salah seorang petugas IOW Sharifah Alia Syed Nasir, hebahan bergerak IOW ini ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seperti di kawasan R&R dan pusat beli-belah dalam daerah Johor Bahru sebaik sahaja kebenaran rentas negeri diumumkan.
“Kami menjangkakan peningkatan jumlah pengunjung akan berlaku di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai.
“Hebahan bergerak ditempatkan di lokasi-lokasi ini agar orang ramai sentiasa mendapat peringatan dan makluman mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang masa bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19,” jelasnya.
Selain hebahan, para petugas IOW turut mengedarkan risalah mengenai langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 kepada orang ramai.
-NI-