Laporan/foto: Judy Henry (Sarawak)
KUCHING, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Sarawak yang progresif dan membangun berpegang kepada dasar sosial yang berteraskan keterangkuman, tidak meminggirkan kaum minoriti dalam Keluarga Malaysia.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Hajah Fatimah Abdullah, berkata demikian semasa Majlis Program Perpaduan Keluarga Malaysia sempena sambutan Perayaan Diwali 2021 baru-baru ini.
“Saya sentiasa percaya bahawa perpaduan tidak datang secara automatik. Ia perlu dipupuk dan ditanam ke dalam sanubari golongan anak muda agar nilai perpaduan ini dapat terlaksana secara berterusan sepanjang hayat mereka.
“Objektif inilah yang hendak kita capai melalui program yang diusahakan untuk membawa komuniti yang berbeza bangsa, latar belakang agama dan sistem kepercayaan untuk bersatu.
“Lebih-lebih lagi perasaan setiakawan, hormat menghormati dan perasaan kasih sayang sebab kita sebenarnya adalah satu keluarga Malaysia,” ujarnya di Dewan International Society For Krishna Consciousness Kuching, di sini.
Fatimah memaklumkan program sambutan Diwali ini adalah satu usaha sedar oleh kerajaan Sarawak untuk mengumpul ketua-ketua dan pemimpin serta influencers dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan kaum untuk bergabung dan berhimpun dalam satu acara perpaduan.
“Sambutan Diwali ini adalah acara sosial besar yang julung kali diadakan selepas kelonggaran oleh SDMC mengenai aktiviti ekonomi dan sosial yang dibenarkan dalam komuniti,” jelasnya.
”Saya berpendapat bahawa adalah sesuatu yang amat baik kerana agensi kerajaan mengiktiraf perayaan kaum kami, walaupun Deepavali bukanlah cuti umum di Sarawak,” kata Dr. Latchma Linggam, 36, seorang Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak.
Menurut Dr. Latchma, agensi kerajaan masih ingat mereka mempunyai komuniti yang berbangsa India dan penganut agama Hindu yang meraikan Deepavali.
“Pada pandangan saya, usaha pada hari ini menunjukkan kriteria kita Sarawak sangat prihatin walaupun berbeza tradisi dan budaya, namun masih dapat bersama kami meraikan sambutan Diwali pada hari ini.
“Lebih-lebih lagi semasa pandemik seperti ini, ia agak sukar dengan pergerakan SOP. Walau bagaimanapun kesukaran ini tidak menghalang mereka untuk menganjurkan majlis ini. Oleh yang demikian, bagi saya Itu adalah sesuatu yang boleh dibanggakan,” ujar Latchma.
Dr. Latchma turut mengungkapkan tentang Konsep Keluarga Malaysia, iaitu kita menganggap diri kita sebagai sebuah keluarga kerana kita adalah masyarakat yang berbilang budaya dan berbilang kaum dan satu-satunya cara kita dapat menyatukan kita semua jika kita melihat satu sama lain sebagai manusia dan sebagai sebuah keluarga.
“Penerimaan dan keterbukaan akan mencetuskan ke arah perpaduan. Maka apabila kita bersikap sedemikian, kita akan secara langsung mengambil berat tentang orang lain dan ia akan mengurangkan konflik antara agama dan kaum kerana perbezaan setiap orang.
“Dalam keluarga, kita perlu memahami bahawa perangai abang kita berbeza, dia mungkin suka perkara tertentu. Tetapi adik kita yang bongsu pula, mungkin lebih nakal. Maka sebagai keluarga kita harus memahami satu sama lain. Konsep ini sama tetapi dalam skala besar,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Fatimah dan tetamu jemputan dibawa melihat pameran makanan tradisi yang sering dihidangkan pada musim perayaan Deepavali.
-ZS-