PUTRAJAYA, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan menganjurkan Minggu AI dan Data 2021 (AIDW 2021) secara maya bermula 25 hingga 29 Oktober ini yang memberi tumpuan kepada Internet Pelbagai Benda (IoT), data dan Kecerdasan Buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahadhir Aziz berkata AIDW 2021 menyasarkan untuk memangkin pelaksanaan teknologi data dalam kalangan perniagaan di Malaysia dan memacu kemajuan ekosistem data di negara ini.
Beliau berkata AIDW 2021 akan membawakan program bual bicara dan perbincangan daripada pakar data dan industri untuk memupuk ekosistem data dan AI yang berkembang maju terutamanya dari segi pemikiran, integrasi dan adaptasi IoT, data dan AI dalam kalangan perusahaan, pekerja profesional, pegawai kerajaan dan orang awam.
“AIDW 2021 berperanan sebagai satu daripada platform utama untuk kami mempercepatkan ketersediaan, kebolehcapaian dan kegunaan data kepada masyarakat dan ekonomi Malaysia.
“Menerusi kejayaan mengadaptasi data dan AI, kami boleh memacu ekonomi digital yang produktif, progresif dan inklusif selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDIGITAL dan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahadhir berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang ketara bagi adaptasi dipacu data dalam kalangan organisasi dan perniagaan, yang mencerminkan peningkatan dalam perbelanjaan dipacu data.
Beliau berkata kajian MDEC yang ditugaskan kepada International Data Corporation (IDC) mendapati pasaran data raya dan analisis Malaysia dijangka berkembang daripada US$1.1 bilion (RM4.5 bilion) pada 2021 kepada US$1.9 bilion (RM7.89 bilion) pada 2025.
Laporan syarikat perunding global Kearney mengenai masa depan AI di Asia Tenggara pula menunjukkan, walaupun adaptasi AI di rantau ini masih pada peringkat awal, penggunaan dan pelaksanaan AI yang sewajarnya akan menambah US$115 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030, katanya.
— BERNAMA