Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Tiada Lagi Pusat Kuarantin COVID-19 di Marang

By 21 Oktober 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: RA Othman (Marang)  

MARANG, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Semalam, satu lagi Pusat Kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang telah ditutup dari operasinya sebagaimana sebelum ini Pusat Kuarantin di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Marang ditutup beberapa bulan yang lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong penutupan pusat kuarantin ini adalah suatu keputusan yang tepat walaupun pada saat pandemik COVID-19 masih lagi menular menjadi kes baharu setiap hari.

“Kita menerima keputusan supaya menutup pusat kuarantin ini bagi memberi laluan kepada akademi ini merekrut pengambilan anggota baharu yang telah ditangguh berikutan memberi laluan menjadikan blok penempatan tersebut sebagai pusat kuarantin bagi Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) dari seluruh daerah di Negeri Terengganu,” katanya.

Penyampaian plak penghargaan oleh Datuk Dr. Kasemani Embong kepada Komandan Akademi Bomba & Penyelamat Wilayah Timur, Abdul Khair Osman.

Penyampaian plak penghargaan oleh Datuk Dr. Kasemani Embong kepada Komandan Akademi Bomba & Penyelamat Wilayah Timur, Abdul Khair Osman.

Tambah beliau lagi, sepanjang pusat kuarantin ini beroperasi bermula pada 27 September 2020, seramai 4,665 orang PUS telah dikuarantin yang terdiri daripada pelbagai sektor pekerjaan, kontak rapat kes, pelaut serta mereka yang tiba dari luar negara mahupun yang merentas negeri.

“Hanya kes-kes baharu positif yang berisiko sahaja akan diletakkan di pusat kuarantin negeri selepas ini dan kes positif yang lain serta kontak rapat hanya kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya.

Dr. Kasemani Embong, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu ketika berucap.

Dr. Kasemani Embong, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu ketika berucap.

Dalam pada itu, Dr. Kasemani mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pegawai Daerah Marang yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Marang, Lizan Che Mat serta semua kakitangan Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Anggota Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Polis Daerah Marang, Angkatan Pertahanan Awam Marang serta semua ketua jabatan di daerah dan petugas-petugas yang terlibat secara langsung dalam memastikan kes jangkitan COVID-19 di sini dapat dibendung lebih cepat dan efektif.

Dalam majlis ini juga, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan dan tanda terima kasih kepada Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Abdul Khair Osman, Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur serta petugas-petugas yang terlibat sepanjang operasi berlangsung.

Pegawai Daerah Marang memeriksa nombor kad pengenalan PUS sebelum memotong gelang kuarantin.

Pegawai Daerah Marang memeriksa nombor kad pengenalan PUS sebelum memotong gelang kuarantin.

“Kerjasama semua pihak hari ini telah mencipta satu kejayaan dalam memastikan kadar kesedaran masyarakat untuk menjaga keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebagai amalan rutin pastinya akan membuahkan kejayaan selepas kerajaan mengumumkan fasa endemik nanti,” kata Lizan Che Mat.

Lizan berkata demikian semasa mengiringi Dr. Kasemani memotong gelang PUS terakhir di pusat kuarantin Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang.

-ii-

Tinggalkan komen anda