Laporan/foto: Asmidar Zainol (Kota Kinabalu)
KINABATANGAN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Pengusaha pelancongan perlu siap sedia menerima kehadiran pelancong di Sabah.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Sr. Mohd Yusrie Abdullah, berkata ia selari dengan keputusan kerajaan negeri membenarkan perjalanan rentas daerah bermula 14 Oktober dan rentas negeri pada 1 November depan.
“Memandangkan kita telah dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri, saya berharap syarikat-syarikat pelancongan dapat bersiap sedia untuk menerima kehadiran pelancong di lokasi mereka.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha syarikat pelancongan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) memandangkan wabak COVID-19 masih belum reda di negara kita,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Danau Girang dan Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL Berhad), di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd Yusrie memuji usaha Koperasi Pelancongan Mukim Batu Putih Kinabatangan Berhad (KOPEL Berhad) dalam membangunkan lokasi berkenaan sebagai pusat pelancongan berteraskan komuniti.
“Saya kagum dengan usaha KOPEL Berhad yang mana ia diwujudkan bukan semata-mata sebagai pusat pelancongan tetapi juga sebagai pusat pemuliharaan seperti menanam pokok dan sejak kebelakangan ini mereka juga menghasilkan baja kompos daripada komposisi sisa pepejal yang dibuang setiap hari terdiri daripada sisa makanan, sabun organik, produk menghalau serangga yang mana ia sesuatu yang jarang kita perolehi di mana-mana tempat.
“Saya dimaklumkan, pada mulanya KOPEL Berhad mendapat tentangan daripada masyarakat setempat tetapi setelah usaha mereka menunjukkan hasil, sekarang mereka mendapat sokongan penuh daripada warga Mukim Batu Puteh,” jelasnya.
Tambah Mohd Yusrie, KOPEL Berhad juga merupakan antara koperasi pelancongan terbaik sehingga diberikan peruntukan sebanyak RM4.2 juta daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membina kemudahan seperti bilik penginapan, restoran dan pejabat operasi melalui Projek Desa Lestari Kampung Alaf Baru selain dana dari KePKAS untuk membaik pulih pusat penerangan di pusat pelancongan tersebut.
“Semoga usaha KOPEL Berhad akan menjadi ikutan oleh koperasi dan komuniti di tempat lain,” katanya.
-RI