Laporan/foto: Mohamad Zaidy/JaPen
PUTRAJAYA, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) melalui Kelab Malaysiaku telah menganjurkan program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Siri 2/2021 di sini hari ini.
Program webinar interaktif yang mengetengahkan pelbagai tajuk menarik dengan menjemput influencer (pempengaruh) media sosial bagi membantu pembinaan sahsiah diri pelajar sekolah menengah seluruh negara.
Kelab Malaysiaku merupakan perkongsian pintar (smart partnership) antara JaPen dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditubuhkan di sekolah-sekolah menengah sebagai satu kegiatan ko-korikulum.
Salah seorang influencer yang dijemput iaitu Usahawan Digital Khairul Aming Kamarulzaman berpendapat pendidikan formal penting dalam membezakan pembawakan diri seseorang influencer dengan memberi nilai positif yang berkualiti kepada pengikut-pengikut mereka di media sosial.
“Kerajaan boleh mengeluarkan garis panduan kepada mereka yang beminat untuk menjadikan bidang influncer ini sebagai kerjaya kerana remaja dan media sosial pada masa sekarang tidak boleh dipisahkan. Daripada kita halang dan beri tekanan, lebih baik kita tunjuk ajar macam mana mereka boleh berjaya dalam bidang ni,” jelas beliau.
“Kita perlukan lebih ramai influencer di dalam pelbagai bidang seperti dalam bidang pendidikan, inovasi dan teknologi dan bukan tertumpu kepada bidang hiburan sahaja. Selain fokus pada pelajaran tapi pada masa sama pelajari juga kemahiran untuk membuat duit suatu hari nanti, sebagai contoh buat coding untuk software, ini kemahiran yang sangat berharga,” tambahnya lagi.
Beliau yang juga graduan universiti luar negara lebih dikenali sebagai Khairulaming di platform media sosial mempunyai 6.7 juta pengikut berikutan kandungan media sosial yang dikongsi terutamanya video tutorial masakan yang sentiasa ceria dengan celoteh beliau.
Turut hadir bersama semasa program adalah Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Hashim Bedu dan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik), Jabatan Penerangan Malaysia, Zainudin Ismail. Seramai 1,623 pelajar sekolah menengah daripada 706 sekolah di seluruh negara menyertai program ini.
-ZS-