Laporan/foto: Lydia Humphery Tungkat/Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menggerakkan program #SayaDigital untuk mencetuskan kesedaran terhadap teknologi digital dan mendedahkan rakyat kepada pelbagai insiatif.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa, berkata Kerajaan Persekutuan dan Negeri komited untuk membawa Sarawak lebih ke hadapan dalam dunia teknologi digital yang memfokuskan kepada ekonomi digital untuk membantu rakyat menjana pendapatan dengan mempromosi produk tempatan ke luar negara.
“Pada masa kini, berniaga tidak perlu ada premis secara fizikal, jika dibandingkan cara perniagaan dahulu hanya terhad di satu tempat sahaja sementara itu pembayaran sekarang adalah tanpa tunai,” katanya semasa sesi dialog #SayaDigital di Dewan Serbaguna, Kampung Malaysia Jaya, di sini baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz, memaklumkan bahawa terdapat banyak program seperti e-usahawan, e-rezeki dan go e-commerce serta lain-lain program disatukan di bawah #SayaDigital.
“Ianya merangkumi empat teras utama iaitu pertama, asas digital atau #SayaDigital literasi untuk individu yang tidak biasa menggunakan peralatan peranti digital seperti telefon bimbit.
“Kedua adalah membuka peluang peniaga yang baharu mahu bermula dengan e-dagang ataupun e-perniagaan iaitu #SayaDigital Perniagaan ada menyediakan pelbagai program,” katanya.
Mahadhir memberitahu teras yang ketiga adalah untuk menjana pendapatan bagi peniaga yang masih lagi menjalankan perniagaan secara luar talian.
“MDEC membantu golongan usahawan memperkasakan kebolehan pemasaran dengan menggunakan platform ini secara global dan keempat adalah kemahiran digital dengan melatih golongan usahawan pada fasa yang pertama, agar mereka dapat melatih generasi muda pada masa yang akan datang,” katanya.
-ZS-