Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Adis Tiporang Inspirasi Pelancongan Semula Jadi

By 12 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Joshua Amir Sibat (Sarawak)

KUCHING, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Adis Tiporang merupakan sebuah kawasan tarikan pelancong di Singai yang berlatar belakangkan gunung-ganang serta suasananya yang dingin.

Menurut pemilik pusat peranginan tersebut Jessie James Maret, 61, resort ini mula dibina pada tahun 2014 yang diilhamkan daripada gabungan nama sungai “Adis” dan “Tiporang” yang merupakan kawasan di Kampung Segong Bau.

“Pada awalnya saya menerokai kawasan ini untuk penanaman padi, kemudian saya terinspirasi untuk mengubah lanskap persekitaran kepada kawasan rekreasi dan perkelahan awam kerana struktur geografinya yang berpotensi menjadi tarikan pelancong.

“Kini, semakin ramai turut menceburi bidang sama,” katanya ketika ditemui di resort tersebut, di sini baru-baru ini.

Jessie James Maret, pesara guru, pemilik pusat pelancongan Adis Tiporang.

Jessie James Maret, pesara guru, pemilik pusat pelancongan Adis Tiporang.

Jessie berharap dapat menambah baik fasiliti di kawasan sini memandangkan bekalan prasarana yang ada adalah amat terhad.

“Saya mengharapkan ada bantuan dari pihak berwajib bagi keperluan elektrik dan bekalan air bersih serta pembinaan dewan bagi kemudahan pengunjung membuat majlis atau keperluan lain seperti perjumpaan semula rakan lama.

Pemandangan sungai yang berbatu di kawasan Adis Tiporang.

Pemandangan sungai yang berbatu di kawasan Adis Tiporang.

“Setakat ini belum ada bantuan khas kerajaan yang saya dapat namun Jabatan Pertanian pernah memilih kawasan ini sebagai salah sebuah lokasi Projek Tagang,” ujar Jessie.

Adis Tiporang kini beroperasi dengan bantuan jentera penjana kerana belum terdapat penyambungan elektrik dan punca air juga dipam dari sungai untuk keperluan tandas dan bilik mandi.

Menurut Jessie, bagi tujuan memasak, bekalan air bersih akan dibekalkan dari rumah pemilik dan pada tahun 2020, Sarawak Energy pernah membuat tinjauan dan hasilnya, usaha penyambungan elektrik masih dalam perhatian sementara menunggu projek kampung fasa kedua bermula.

“Kawasan ini akan menjadi tumpuan lebih-lebih lagi pada hujung minggu kerana warga kota memilih alam sebagai terapi merehatkan minda dan menyegarkan diri dari kesibukan kerja, kesesakan jalan raya dan mengimbau kembali suasana kampung setelah lama tidak pulang ke kampung halaman dek pandemik COVID-19.

Ruang rehat rumah penginapan Adis Tiporang yang dipanggil "ruai" dalam bahasa Dayak.

Ruang rehat rumah penginapan Adis Tiporang yang dipanggil “ruai” dalam bahasa Dayak.

“Untuk perancangan masa akan datang, saya berhasrat menambahbaik insfrastruktur termasuklah tempat memanggang, kawasan perkhemahan dan trek hutan agar pengunjung dapat memanfaatkan masa rehat mereka sebaiknya semasa berkunjung ke sini,” kata pesara guru ini.

Jessie turut berhasrat menjadikan kawasan ini sebagai dusun buah-buahan tempatan agar semasa tiba musim buah nanti para pengunjung dapat menikmati buah-buahan di sini.

“Setakat ini hanya buah rambutan sahaja mengeluar hasil dan telahpun dinikmati pengunjung, durian belum lagi.

“Saya mahu mereka mendapat pengalaman yang hebat sekembalinya dari tempat peranginan ini,” ujar Jessie.

-ZS-

Tinggalkan komen anda