PUTRAJAYA, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) akan menganjurkan acara KLWKND sebagai sebahagian daripada program “Art In The City” hujung bulan ini bagi menggalakkan dan memupuk pemulihan pelbagai bidang seni dan budaya Malaysia.
Perunding dan Pengarah Festival CENDANA Joe Sidek berkata acara tiga hari bermula 25 November itu disasar untuk menyuburkan kembali komuniti kreatif di sini yang dilihat terkesan dengan kemunculan pandemik COVID-19 awal tahun lepas, dengan membawa penglibatan pelbagai bidang seni.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Joe Sidek Productions berkata Panggung Bandaraya akan menjadi hos kepada perasmian KLWKND, yang akan menampilkan persembahan muzik dan tarian kumpulan penari-penari terbaik dalam negara.
Beliau berkata pelbagai program dirancang untuk memeriahkan pertunjukan menerusi demonstrasi fizikal, dan juga program maya, seperti rakaman awal video dan penstriman secara langsung dalam talian, namun ia bergantung kepada perubahan, berdasarkan kepada situasi COVID-19 semasa.
“Satu penilaian akan dibuat berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) terkini untuk acara ‘live’ dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama semalam.
Joe berkata program-program KLWKND merangkumi beberapa kluster sorotan utama, setiap satu dengan ‘festival village’ sendiri, dan program ini disertakan dengan pelbagai program tambahan yang mengambil genre dan subjek yang berbeza.
Antara program yang dirancang adalah Bamboo House; in-kueh-dible trail; Buku2Books; Opera Srikandi Nusantara; Love My (Malaysian) Batik; di samping lawatan khas KLWKND yang nenganjurkan thematic tours bagi membawa pelawat berkunjung ke pelbagai tempat di Kuala Lumpur.
Program-program KLWKND berlangsung di sekitar lokasi-lokasi utama serta tempat-tempat bersejarah di sekitar Kuala Lumpur, dan setiap lokasi juga diberi nama tempatan seperti ‘Di sini’, ‘sinilah’ dan juga ‘In Situ’; dan tiket-tiket boleh diperoleh secara percuma di www.klwknd.com.
— BERNAMA