Laporan/foto: Zayana Isa (Kuantan)
KUANTAN, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Tiada kata yang dapat digambarkan melainkan rasa bersyukur kerana perayaan Deepavali tahun ini disambut dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berbanding tahun sebelumnya.
Rajan a/l Ramasamy, 56, berkata walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19 namun beliau dan keluarga berasa seronok kerana dapat merayakan Deepavali dalam kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pada tahun ini.
“Saya rasa bersyukur tahun ini kita boleh beraya namun perlu diingat untuk memastikan SOP dipatuhi,” katanya ketika ditemui di rumah beliau di Cenderawasih.
“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas kelonggaran yang diberikan dan semestinya sambutan tahun ini dirayakan atas semangat Keluarga Malaysia,” katanya lagi.
Rajan turut memberitahu saban tahun beliau dan keluarga mengekalkan adat resam dan tradisi sambutan Hari Deepavali dan akan memastikan tradisi ini diamalkan oleh anak-anaknya apabila mereka telah berkeluarga nanti.
“Sebelum kami bersiap-siap untuk pergi sembahyang di kuil, saya akan melumurkan minyak bijan di rambut anak-anak.
“Kalau ikutkan tradisi asal, anak-anak akan dimandikan dengan minyak ini tapi saya lumurkan di kepala mereka sahaja,” tambah beliau.
Rajan yang juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan di Kuantan tidak sabar untuk menantikan kedatangan tetamu dan sahabat-handai yang juga di kalangan kaum Melayu dan Cina.
-ZS-