![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/11/WhatsApp-Image-2021-11-30-at-2.03.14-PM.jpeg)
Laporan/foto : Jamilah Binti Sulaiman Nasution (Seremban)
SEREMBAN, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Diabetes merupakan satu penyakit yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Ianya adalah penyakit jangka masa panjang yang disebabkan oleh badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi, atau tidak dapat menggunakan insulin dengan betul.
Insulin ialah hormon yang mengawal paras gula dalam darah dengan membenarkan gula masuk ke dalam sel-sel, dan dengan itu, menurunkan paras gula dalam darah.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, Dr. Wan Nur Adilla, satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes dan seramai 54,928 orang merupakan pesakit yang berdaftar secara aktif di Negeri Sembilan.
“Terdapat dua jenis diabetes iaitu ‘Jenis 1’ dan ‘Jenis 2’ dengan gejala yang berbeza tetapi ianya serius dan memerlukan rawatan segera serta jagaan yang rapi oleh pesakit untuk mengubatinya”, jelasnya semasa menjadi tetamu rancangan ‘i-Medik’’ di Radio Negeri FM, di sini, baru-baru ini.
“Penyakit diabetes boleh dicegah seandainya masyarakat peka untuk menjaga kesihatan dan mengamalkan pemakanan yang sihat serta mengurangkan gula dalam makanan dan minuman seharian”, katanya.
Selain itu, gaya hidup kurang aktif dari segi senaman dan aktiviti fizikal juga menyumbang pada peningkatan penyakit diabetes.
Tambahnya lagi, antara tanda-tanda dan gejala diabetes yang kebiasaannya berlaku pada penghidapnya ialah berasa dahaga dan lapar sepanjang waktu walaupun sudah mengambil makanan dan minuman dalam kuantiti yang banyak, mengalami kekeringan pada bibir dan tekak serta kerap membuang air kecil sehingga lewat malam.
Dr. Adilla turut menegaskan bahawa jika diabetes tidak dikawal dengan baik pelbagai komplikasi akan berlaku terhadap semua organ tubuh badan seperti strok, kebutaan, kerosakan buah pinggang, gangguan fungsi seksual dan amputasi pada kaki.
“Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November lalu, saya menggalakkan masyarakat Negeri Sembilan untuk menjalani ujian saringan darah untuk kencing manis di fasiliti-fasiliti kesihatan yang berhampiran,” katanya.
-FF