Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 22 November (Malaysiaaktif) – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membantu menghidupkan semula Pulau Papan sebagai destinasi pelancong dari dalam dan luar Labuan.
Menurut Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, perkara tersebut akan dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat KWP.
“Saya akan bawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat KWP dan mungkin kita akan buat kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Perbadanan Labuan (PL) bagi pulau ini dapat diusahakan oleh pihak swasta yang berminat.
“PL juga perlu membantu pengusaha Pulau Rusukan Besar untuk menaik taraf kemudahan di pulau itu bagi menarik lebih ramai pelancong yang berkunjung atau bermalam di situ,” katanya semasa membuat lawatan ke Pulau Papan dan Pulau Rusukan Besar, di sini semalam.
Beliau juga akan memberi perhatian dan melihat secara keseluruhan pembangunan semula pulau Labuan untuk memastikan akan terus menjadi tumpuan sebagai destinasi pelancongan dan hub kewangan.
“Kita ada banyak produk pelancongan yang sedang berjalan dan bakal dilaksanakan seperti aktiviti menyelam, batu karang yang cantik, aktiviti memancing dan lain-lain aktiviti berkaitan air.
“Dengan kemudahan yang sedia ada kita akan upayakan lagi bagi pastikan kita menaik taraf ekonomi rakyat dan pulau ini,” katanya lagi.
-RI